MELBOURNE 12 Okt. — Datuk Seri Najib Tun Razak perlu memastikan dirinya tidak dikelilingi oleh kroni dan anggota keluarga apabila beliau menjadi perdana menteri, kata Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini.

“Beliau juga patut mendapatkan nasihat daripada beberapa bekas anggota Parlimen dan pakar mengenai urusan mentadbir negara,” kata bekas perdana menteri itu kepada Bernama selepas berucap pada seminar belia Malaysia di University of Melbourne. Tetapi Najib tidak patut cuba melakukan semuanya sendirian. Beliau perlu mendapatkan nasihat yang betul daripada mereka yang benar-benar layak. Beliau tidak sepatutnya dikelilingi oleh kroni dan anggota keluarga kerana ini tidak baik untuk negara,’’ kata Dr. Mahathir.

– BERNAMA

————————————————————————————–

Nasihat yang datang dari Tun Dr Mahathir (TDM) sepatutnya diterima dengan baik oleh DS Najib Tun Razak. Bagaimanapun, nasihat tersebut dipandang serong oleh parti pembangkang dan musuh-musuh politik beliau. Sebagai pembangkang, saya tidak hairan sekiranya pembangkang tidak mahu DS Najib berubah menjadi orang yang baik kerana ianya tidak akan membawa apa-apa keuntungan politik kepada mereka.

Kita tidak akan dapat menerima seseorang itu sekiranya kita tidak cuba berfikir secara positif kepada beliau. Orang yang sentiasa berfikir secara negatif sebenarnya akan merosakkan diri sendiri.. Saya mengakui, DS Najib terbelenggu dengan pelbagai skandal dan masalah peribadi, tetapi saya percaya beliau mempunyai pengalaman pentadbiran dan kebijaksanaan akal.

Walaupun Anwar, Lim Kit Siang dan PAS juga mempunyai sikap-sikap negatif.. tidak bermaksud saya harus memandang serong kepada mereka kerana mereka juga mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri. Tetapi, menyalahkan kerajaan 100% keatas setiap masalah seolah-olah menafikan kenyataan bahawa permasalahan rakyat sedikit-sebanyak berpunca dari mereka juga.

Berdasarkan pertimbangan inilah, saya berpendapat negara kita memerlukan sistem dua parti yang efektif dimana pemerintah dan pembangkang menjalankan tugas masing-masing dengan bekesan. Sebelum ini, keadaan parti agak berat sebelah dan membuatkan kerajaan pemerintah menjadi ego dan tidak mahu mendengar masalah orang lain melainkan diri mereka sahaja. Tapi harus diingat, ianya bukan berpunca dari manipulasi kerajaan semata-mata.. ianya kerana tiada parti alternatif yang benar-benar stabil untuk memberi saingan kepada BN.

Pembangkang juga ego, tidak mahu mengakui kelemahan mereka sendiri.. kerana itulah mereka selesa memburuk-burukkan kerajaan sedia ada dan mempermainkan sentimen rakyat dalam isu-isu semasa, untuk memperolehi sesuap-dua keuntungan politik. Terima kasih kepada Anwar Ibrahim yang dapat mengajar dan ‘brain-wash’ Lim Kit Siang, Hj Hadi dan Nik Aziz agar berpijak dibumi nyata.

————————————————————————————-

Berbalik kepada DS Najib, semua orang mengetahui beliau dikaitkan dengan skandal SAS (Sukhoi-Altantuya-Scorpene).. tetapi mengatakan beliau telah bersalah adalah tidak adil sama sekali. Kita banyak terpengaruh dengan momokan dan hasutan Raja Petra dan DS Anwar. Bukankah Khairy Jamaluddin dibenci ramai kerana Hikayat Khairy Jamaludin? Bukankah Najib dibenci kerana Altantuya’s Saga?

Bolehkah kita mempercayai 100% RPK dan DS Anwar? Tetapi, kita juga tidak boleh mempercayai DS Najib dan UMNO 100% juga. Kita memerlukan pertimbangan akal yang seadilnya mengikut tahap pemikiran diri kita sendiri, bukannya kerana terikut-ikut dengan orang lain tanpa mengetahui hujung-pangkal sesuatu peristiwa. Mempercayai bulat-bulat kata Hishamudin Hussein adalah tidak baik kerana beliau proksi Najib, begitu juga dengan kata-kata Azmin Ali kerana beliau proksi Anwar.

DS Najib memerlukan penasihat untuk memerintah negara. Salah satu kegagalan Pak Lah ialah kerana melantik senarai penasihat yang tidak betul dan hanya suka mengampu, yang telah membawa dirinya untuk dibenci ramai dan dilabel dengan imej negatif. Sekiranya DS Najib bijak, beliau sudah tentu mengambil kira faktor ini untuk dibuat pengajaran.. tersilap kali pertama bolehlah dikatakan sebagai pengajaran, mengulangi kesilapan pertama untuk kedua kalinya, bolehlah dikatakan bodoh kerana tidak mempelajari kesilapan itu.

Ramai orang bimbang kerana DS Najib dikatakan mengikut telunjuk isterinya, Datin Rosmah. Hal ini bukannya menjadi rahsia lagi kerana isterinya itu dilihat lebih berkuasa dalam sesetengah perkara dan menjadi kehairanan sesetengah ahli politik dan pegawai-pegawai kerajaan.

Benar.. sekiranya DS Najib dibiarkan keseorangan, beliau mungkin akan dipengaruhi isteri dan kroni-kroninya. Kerana itulah beliau memerlukan seorang penasihat yang lebih bijak dan berpengalaman dari beliau sendiri, melantik TDM sebagai penasihat parti adalah tepat. Secara tidak langsung.. TDM akan berfungsi sebagai ‘check and balance’ kepada BN dan DS Najib. Adakah anda fikir DS Najib mahu mendengar nasihat sepupunya Hishamudin? ..atau nasihat dari musuh politiknya sejak dulu lagi, Anwar Ibrahim? ..atau nasihat Nik Aziz, Hj Hadi atau Lim Kit Siang? Saya rasa tidak..

Ada orang mengatakan.. ajaran Mahathirisme akan berulang, Najib akan menjadi boneka Mahathir. Secara peribadi, saya tidak nampak hal sedemikian akan terjadi. DS Najib ada stail beliau yang tersendiri, mungkin dilihat sama dengan Dr Mahathir tetapi sebenarnya berbeza. Yang paling nyata, beliau dilihat agak pemurah dan mudah terpengaruh (tetapi tidak bodoh) berbanding Dr Mahathir yang tegas dan ‘hati kering’.

Apa yang saya nampak, kroni-kroninya akan dapat ‘durian runtuh’ melalui projek-projek kebajikan  dan pembangunan kepada rakyat berdasarkan formula ‘menang-menang’.. persoalannya, adakah durian runtuh tersebut keterlaluan sehingga nasib rakyat terabai kelak?

Sebagai rakyat biasa.. kita kena menerima kenyataan bahawa segala peluang peniagaan dan maklumat akan sampai terlebih dahulu kepada tampuk kepemimpinan negara. Sesiapa yang rapat dengan mereka juga akan beroleh faedah maklumat tersebut secara tidak langsung, akhirnya rakyat bawahan akan beroleh sisa-sisa dan picisan maklumat tersebut.

Hal yang sama akan terpakai sekiranya Pakatan Rakyat memerintah… Jangan terkejut sekiranya kita mendengar berita kroni Husam Musa beroleh tender membuat lebuh-raya, berita kroni Azmin Ali dapat AP mengimport kereta dan sebagainya. Kroni ini ada dimana-mana.. sebesar mana skala kroni tersebut bergantung kepada tempat mereka berada sekarang, samada dalam parti pemerintah atau parti pembangkang.

Advertisements

Hari ini Pak Lah dah umumkan beliau tidak mahu bertanding jawatan Presiden UMNO, dan mungkin akan menyerahkan jawatan PM kepada DS Najib secepat-cepatnya pada Mac 2009. Sekiranya ia menjadi kenyataan.. DS Najib dan UMNO ada masa lebih-kurang 3 tahun untuk bersiap-sedia sebelum pilihanraya umum ke 13.

Persoalannya.. kita dah nampak ‘cahaya’ perubahan dari mulut buaya, adakah kita nanti akan termasuk dalam mulut harimau pula nanti?

Banyak juga DS Najib kena buat ‘kerja’ selepas ini.. apa cerita dengan kes-kes :

  1. Apa cerita dengan skandal S.A.S : Sukhoi-Altantuya-Scorpene ??
  2. Apa cerita pasal RM 200 juta komisen pada DSAAB ??
  3. Apa cerita Bik Mama yang beli jam sampai RM 7 juta (baca:boros) ??
  4. Apa cerita pasal kasi duit RM 5 juta kepada Bala ??
  5. Apa cerita ‘queen control’ ??

Ada juga dengar cerita orang Cina tak suka beliau sebab pernah julang keris suatu ketika dulu.. erm, tahun 1969 kot. Rasanya orang Hindu suka kot pada DS Najib, sebab ada juga dengar cerita ‘Mr Ji’ selalu melawat rumahnya. Harap-harapnya skandal-skandal tersebut tidak benar dan hanyalah konspirasi politik.. Selamat Berjuang Datuk Seri.

(Dikemas-kini)

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti itu Mac depan. Beliau juga akan melepaskan jawatan perdana menteri dan menyerahkan kuasa kepada timbalannya pada bulan Mac apabila Datuk Seri Najib Razak dipilih sebagai presiden baru parti itu.

Menurut Abdullah, tempoh tamat jawatannya sebagai presiden Umno ialah Mac tahun depan. Abdullah berkata, beliau akan menyerahkan jawatan perdana menteri selepas Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi presiden Umno.

Perdana menteri juga menegaskan bahawa keputusannya itu adalah muktamad.

“Saya ingin serahkan kepada Datuk Najib supaya Malaysia boleh menghadapi cabaran global, kerana ini bukan masa untuk berbalah sesama sendiri tetapi adalah masa untuk perpaduan, dengan mengutamakan kepentingan negara,” katanya.

Keputusan perdana menteri itu, yang diumumkan dalam taklimat Dewan Tertinggi BN petang ini sudah dijangka sejak keputusan terbaru mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) bulan lepas. Ikuti artikel Malaysia disini..

———————————————————————————–

(Artikel sebelumnya 8/10/08)

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan satu perjumpaan penting selama tiga jam – mulai 11.00 malam 7 Oktober 2008 hingga 2.00 pagi 8 Oktober 2008 – di Sri Perdana, Putrajaya, untuk memuktamadkan keputusan sama ada beliau akan bersara atau terus mempertahankan jawatannya selaku Presiden UMNO dalam pemilihan parti Mac 2009.

Keputusannya: Abdullah akan terus mempertahankan jawatan Presiden UMNO.

Bagaimanapun, adalah tidak diketahui sama ada perjumpaan di atas juga mencadangkan supaya persidangan perwakilan bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara yang dijadualkan bermula hujung minggu ini akan ditunda ke tahun Februari 2009.

Perjumpaan berkenaan dihadiri kira-kira 200 orang, termasuk beberapa wakil khas Datuk Seri Ali Rustam yang tiga hari lalu menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Abdullah dijangka mengumumkan keputusannya untuk mempertahankan jawatan Presiden UMNO ini selepas beliau bermesyuarat dengan para pemimpin tertinggi komponen Barisan Nasional (BN) di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, 3.00 petang ini.

Berita ini saya dapat dari blog Kuda Kepang, Ruhanie Ahmad

————————————————————————————

PS : Saya tidak hairan jika Pak Lah mahu ‘flip-flop’ lagi, saya ada menyatakan dalam artikel sebelumnya.. keputusan akhir Pak Lah akan ditentukan oleh anak menantunya dan juga jaminan dari Najib. Siapa yang lebih beliau percaya? anak-menantunya atau Najib..

Secara tidak langsung.. Najib akan bertanding jawatan Timbalan Presiden, dengan adanya bilangan pengampu yang ramai menawarkan diri untuk bertanding, tekanan kepada Najib akan bertambah dan meletakkan Muhyidin dalam keadaan serba-salah.

Dari sudut yang lain.. tindakan ini sebenarnya memudahkan agenda Ku Li-Najib-Mahathir-Muhyidin untuk kekal ‘on-track’. Kita tunggu dan lihat siapa yang lebih kuat dalam politik rimba UMNO ini. Apa-apa pun, kita tunggu berita dari Pak Lah sendiri petang ini..

Rasa terpanggil pula nak bercerita tentang patung Anwar di Batu Caves.. patung atau lukisan yang setinggi 40 kaki itu dibuat dengan kos RM 5 ribu hasil sumbangan individu yang menyanjungi kewibawaan Anwar sebagai pemimpin PKR.

Pada pendapat saya.. ianya bukan patung tapi lukisan berskala besar. Patung biasanya berbentuk 3D atau dalam bentuk arca. Lukisan tersebut tiada beza dengan poster pemimpin-pemimpin atau poster raja di kain rentang atau billboard di tepi lebuhraya yang kita lalui setiap hari. Cuma saiznya yang membuatkan ia agak luar biasa..

Pada saya, tidak salah sekiranya kita meminati seseorang.. meminati Anwar tiada bezanya dengan meminati Christiano Ronaldo atau David Beckham, tiada bezanya dengan meminati Imam Syiah Iran atau Nik Aziz, tiada bezanya dengan meminati Erra Fazira atau Britney Spears.. tetapi kalau menzahirkan minat kita secara berlebih-lebihan, kita sememangnya bermasalah.

Mungkin niat asal lukisan itu didirikan sebagai tanda sokongan kepada Anwar, bukannya untuk dipuja. Tetapi sekiranya kita membuatnya secara berlebih-lebihan, ianya sudah lari dari niat asal.. dari minat kepada penyanjungan yang berlebihan, niat untuk menyokong sudah bertukar kepada niat untuk membodek. Memang ada niat hendak bodek kerana yang meluluskan projek itu pun Adun Batu Caves, YB dari PKR.

Hal yang sama juga terjadi kepada pemimpin-pemimpin politik dari UMNO.. bodek punya pasal, habis jalan dipacak poster Pak Lah dan Najib.. paling tidak YB kawasan masing-masing. Kerana hormatkan Raja secara keterlaluan.. habis gambar Sultan dipacak dan menghiasi dada-dada akhbar.

Tidak ada cara lainkah untuk menzahirkan rasa hormat kita kepada Raja dan pemimpin-pemimpin politik? Perlukah kita membodek dengan memacak gambar dan poster? Sememangnya kita dipengaruhi rasa hormat yang keterlaluan dan budaya bodek-membodek.

Pada saya.. patung/lukisan itu tidak semestinya menjadi berhala. Yang penting adalah niat kita.. kalau niat mahu memuja, pokok besar pun dipuja agar dapat nombor ekor. Nama wali pun dipuja-puja lebih dari nama nabi dalam zikir agar beroleh sesuatu hal yang ajaib. Apa jua benda yang dipuja sudah jadi berhala.. ada berhala dalam dunia nyata yang kita boleh nampak dan dipegang, ada juga berhala dalam hati kita yang hanya diri sendiri yang mengetahuinya.. yang penting, apa niat kita terhadap sesuatu itu?

Samada Anwar mahupun pemimpin UMNO.. walaupun sedar ianya salah, sengaja didiamkan kerana mereka suka diperlakukan sedemikian. Siapa yang tidak suka dan bangga jika diri sendiri diminati oleh ramai orang? Sepatutnya Anwar dan Pak Lah, yang terpelajar dengan ilmu Islam, menasihati penyokong mereka agar mengurangkan unsur-unsur seperti itu atau kalau boleh tidak diamalkan langsung.

Tg Razaleigh sudah kecewa?

October 5, 2008

Dalam mStar online.. Tg Razaleigh Hamzah tidak menafikan beliau ada bertemu pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat seperti Anwar Ibrahim, Hj Hadi dan Lim Kit Siang. Beliau bagaimanapun berkata, pertemuan-pertemuan itu hanya berlangsung dalam “konteks kawan-kawan lama yang bertemu.”

Selanjutnya beliau berkata..

“Sebagai seorang pemimpin, saya terbuka untuk menemui kesemua ahli politik, tidak kira sama ada mereka dari Barisan ataupun Pakatan. Khususnya dalam suasana sekarang kita perlu mengatasi ketidaktentuan politik dan ekonomi, saya tidak inginkan jawatan ataupun kuasa. Saya menawarkan kepimpinan bagi negara menghadapi cabaran ekonomi global semasa,”

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga meminta kesemua ahli politik mengutamakan kepentingan negara khususnya ia penting dalam suasana seperti sekarang. Tengku Razaleigh menambah, beliau mempunyai rancangan sendiri untuk membantu negara bebas daripada persekitaran politik dan ekonomi semasa. Beliau juga turut mengecam pelan peralihan kuasa dalam Umno sekarang sebagai tidak demokratik.

————————————————————————————–

PS : Betul ke ni Ku Li ? Bunyi semacam orang kecewa jer..

Kalau beliau hendak kecewa pun memang munasabah, lebih-lebih lagi jika desas-desus Najib akan jadi PM benar-benar terjadi. Takkan Tun Dr Mahathir mahu Ku Li serang Najib pula.. objektif TDM mahu Pak Lah disingkirkan, siapa cepat dia dapat. Kalau Najib cepat, maka Ku Li meloponglah..

Duit dah banyak habis.. takkan mahu berhenti sekerat jalan pula. Mahu tidak mahu, Ku Li kena ada pelan kecemasan juga.. kalau Umno tolak dia, ada alternatif lain. Itu pun bergantung kepada pakej tawaran dari Pakatan Rakyat.. harap-harapnya Ku Li tidak berubah pendirian.

Sekarang ini ahli-ahli Umno menunggu jawapan kepada teka-teki DS Abdullah.. adakah beliau mahu berundur ataupun masih ingin kekal berkuasa. Merujuk kepada beliau baru-baru ini, pengumuman akan dibuat sebelum persidangan Bahagian pada 9 Oktober ini. Lagi 4 hari lebih kurang..

Sementara menunggu jawapan teka-teki, kita dihidangkan dengan acara-acara selingan yang dilakonkan oleh pelakon-pelakon sampingan yang dibintangi oleh DS Najib, TS Muhyidin, Datuk Zahid Hamidi, TS Muhd Taib dan Datuk Ali Rustam. Walaupun ianya acara sampingan.. acara-acara tersebut boleh memberi ramalan awal kepada keputusan akhir teka-teki. Maka, ramailah yang sibuk berSMS memberi undi dan membuat andaian serta hipotesis.. termasuklah diri saya juga.

Sedar tidak sedar.. akan ada juri-juri yang akan menilai persembahan pelakon-pelakon tadi, tentulah ‘mereka’ yang rapat lagi akrab dengan pemberi jawapan teka-teki. Mereka inilah yang akan menganalisa, membuat kesimpulan dan melontarkan hujah-hujah kepada jawapan akhir teka-teki tersebut. Kunci jawapan pemberi teka-teki terletak kepada mereka, samada mahu berundur atau terus kekal.

Siapakah mereka-mereka ini? .. Seorang ahli perniagaan dari Scomi, seorang broker dan ahli politik muda dan isterinya.

Kasih seorang ayah..

Anak adalah syurga kehidupan.. anak berjaya dan bahagia, ayah senang hati.. anak payah nak cari makan dan murung, ayah susah hati. Kasih kepada anak tidak sama kasih kepada isteri, anak adalah darah-daging tuan empunya diri.. perangai anak-anak adalah cermin kepada perangai diri sendiri. Isteri bukan darah-daging.. isteri adalah orang lain. Kalau tidak.. kenapa anak-anak yang menjadi rebutan ayah dan ibu yang tidak sehaluan?

Ayah sanggup bankrap demi anak.. ayah sanggup menebalkan muka berjumpa orang lain agar anak diberi peluang.. ayah sanggup menerima aib asalkan anaknya tidak diapa-apakan.. ayah rela mati celik dari melihat anak terkapai-kapai hilang tempat bergantung.

Kerana kasih ayah kepada anaknya.. ayah rela menipu orang lain, agar anaknya dapat makan dan hidup. Kerana kasih ayah kepada anaknya.. ayah rela menyerahkan harta agar menantunya berjaya dalam hidup, sekurang-kurangnya anaknya juga yang tumpang bahagia. Kepada sesetengah orang.. kunci kebahagiaan hidup bergantung kepada banyak mana harta yang mereka ada. Malahan pak-pak lebai juga tidak terkecuali..

Ayah kepada keluarga kecil tidak mengapa.. tetapi ayah yang menjadi pemimpin masyarakat bukannya ayah yang biasa, anak-anaknya bukan seorang dua.. malahan berjuta-juta. Kalau ayah hanya menumpukan kasih kepada seorang dua, tentulah anak-anak lain akan terasa hati.. lebih-lebih lagi anak tiri dan dan anak angkat.

Kerana itulah, sekiranya ayah tidak adil memberi kasih.. keluarga porak-peranda, lebih-lebih lagi jika ayah orang yang berharta banyak. Masing-masing berlumba-lumba mahu meraih perhatian ayah, masing-masing mahu dilihat anak yang berbakti dan berjasa. Hanya anak yang ikhlas dan soleh yang tidak terkejarkan harta dan nama, dengan keadaan zaman sekarang yang sentiasa bercampur-gaul dengan wang.. agak sukar mencari anak yang tidak gila harta.

Itu belum dikira bapa-bapa saudara yang ingin berkongsi harta.. ada bapa saudara yang berketayap hijau, ada bapa saudara yang bermata satu dan ada juga bapa saudara yang boleh bertukar kulit. Hendak pengaruh anak yang seorang dua tidak boleh, maka dijoloknya anak tiri dan anak angkat yang ramai bilangannya itu, dengan harapan anak-anak yang berjuta itu boleh memberi sesuatu faedah kepada mereka. Ini perangai bapa saudara..mereka juga ayah, bila dapat harta tentulah mahu menjaga kebajikan anak kandung mereka juga.

Zaman sekarang sudah terbalik.. anak yang memberi nasihat dan tips, si ayah hanya termanggu dan terangguk-angguk. Rasa curiga kepada anak tidak setebal rasa curiga kepada isteri. Zaman sekarang.. anak sudah pandai berlakon depan ibu-bapa, tiada beza antara anak petani atau anak pembesar.. kalau dah jadi anak, sifatnya tetap sebagai anak. Kalau ayah kurang ilmu dan taksub kasih-sayang.. alamat kena tipulah jawabnya.

Kemaruk pertandingan..

Berbalik dalam parti Umno.. agak menarik untuk diperhatikan perkembangan terbaru pertandingan jawatan Timbalan Presiden. Ada empat orang calon setakat ini.. Datuk Zahid, Datuk Ali Rustam, TS Muhd Taib sudah mengesahkan mereka mahu bertanding kecuali TS Muhyidin yang mahu bermain teka-teki juga.

Ada cakap-cakap DS Abdullah mahu berundur dan jawatan PM akan diberi kepada Najib. Tetapi, adakah pengundurannya secara percuma? Sudah tentu tidak.. ayah akan berundur apabila nasib anak-anaknya mendapat pembelaan sewajarnya terlebih dahulu.

DS Abdullah sedar gelombang perubahan yang cuba dibawa oleh Najib-Muhyidin, lebih-lebih dengan kuasa mantera dan jampi serapah Tun Dr Mahathir. Apa sangatlah kudrat setompok air berbanding selautan air.. mahu selamat, kena ikut aliran airlah. Bagi yang berakal dan ada kreativiti.. dipastikan aliran air yang deras dan merbahaya itu dialirkan melalui saluran yang sepatutnya, akhirnya air tadi akan bermanfaat juga untuk masa depan.

Begitulah yang cuba diterjemahkan dengan pencalonan Datuk Zahid, TS Muhd Taib dan Datuk Ali Rustam.. mereka-mereka ini telah diberi ‘nyawa’ baru dalam karier politik masing-masing. Mereka telah dipinggirkan dalam kabinet TDM atas sebab-sebab yang tertentu, dengan lobi dan saranan Khairy.. mereka kembali menjadi ‘seseorang’ dalam kabinet DSA dengan ikrar taat setia atau mereka akan dimalukan kelak. Mahu tidak mahu mereka terpaksa menjadi hamba politik kepada Abdullah-Khairy.

Ini agak berbeza kepada TS Muhyidin, bayangan kepada kabinet TDM dan juga pusaka peninggalan TDM selain DS Najib. TS Muhyidin agak bebas dari sistem perhambaan politik AAB-KJ cuma kuasanya agak terbatas untuk bermaharajalela. Beliau dulunya pilihan hati AAB sebagai Timbalan PM tetapi kecewa lantaran syarat TDM yang mahukan DS Najib calon penggantinya.

Demi survival politik, mahu tidak mahu TS Muhyidin harus bekerjasama dengan DS Najib sambil memantau pasaran saham politik semasa. Mana-mana saham yang ada potensi untuk naik, maka banyaklah pelaburan akan dibuat untuk saham tersebut. Soal saham itu haram atau halal.. belakang kira, yang penting boleh dapat untung.

Sekiranya TS Muhyidin tidak celupar mulut.. Mesyuarat Agung Umno mungkin berjalan seperti biasa Disember ini. Kerana mulut, badan binasa.. tindakan TSM mengundang rasa marah AAB. Jika beliau berani mengkritik seorang PM, mana mungkin si dia ini boleh berkompromi dengan keturunannya nanti.. lebih-lebih lagi apabila AAB sudah bersara. Sanggupkah seorang ayah yang pengasih melihat keturunannya dipulau, diherdik dan diaibkan didepan mata?

Jadi.. orang ini harus disingkirkan, maka perlu kepada strategi baru, perlukan masa yang baru .. Taktik untuk melemahkan Najib telah bertukar, sekarang taktik melemahkan pengaruh Muhyidin. Apabila Muhyidin lemah.. pengaruh DS Najib akan lemah dan ditukar dengan ahli kem yang baru (pro AAB-KJ). Apabila pengaruh DS Najib lemah.. suara TDM, Mukhriz dan Ku Li hanya suara tin-tin kosong. DS Najib adalah biduk percaturan Abdullah vs Mahathir.

Tetapi, harus diingat.. DS Najib seorang yang amat berhati-hati.. sehingga dilihat sebagai ahli politik yang penakut dan kecut perut. Jawatan PM sudah berada dalam mulut, cuma perlu ditelan sahaja.. kalau ada orang yang menepuk belakangnya, maka muntahlah kembali jawatan itu. Lebih-lebih lagi si penepuk itu banyak kudratnya lagi gagah.. siapa yang banyak kudrat sekarang? Pak Lah atau Mahathir?

Sekiranya AAB mahu DS Najib menyingkirkan TS Muhyidin.. maka TSM akan menilai respons terbaru DS Najib kepadanya. Terpulanglah kepada kemahiran lakonan DS Najib didepan AAB.. berjaya atau tidak. Sekiranya gagal, TSM hanya ada 2 pilihan.. bertanding jawatan Presiden atau menolong Tg Razaleigh bertanding jawatan Presiden. Sekiranya DS Najib akur kepada kekuasaan AAB-KJ, maka lawannya nanti tentera-tentera TDM yang berpanglimakan Tg Razaleigh, TS Muhyidin dan Mukhriz.

Kesimpulannya.. jawapan teka-teki AAB terletak kepada analisa anak-menantunya dan jaminan DS Najib untuk menjamin keselamatan keturunannya. Manakala lanskap politik Umno bergantung kepada keputusan akhir DS Najib.. peralihan kuasa AAB kepada DSN membayangkan penyerahan kerja-kerja yang belum dapat AAB selesaikan. Sekiranya DS Najib berjaya dalam lakonannya didepan AAB, dia selamat dan dialu-alukan oleh TDM & The Gang.

Pak Lah telah berjanji kepada TDM sebelum menerima jawatan PM, tetapi beliau mungkir janji.. sekarang, DS Najib pula yang berjanji kepada beliau, ada kemungkinan beliau pula akan ditipu oleh DS Najib.. sebagaimana beliau menipu TDM dahulu.

Janji politik bukannya boleh dipegang mana.. janji politik semacam janji orang yang terdesak mahu berhutang, bila dapat.. belum tentu hutang itu terbayar.

Undian KL Pos :Siapa pemenang Ketua Pemuda UMNO Disember ini?

12% Khairy Jamaluddin
79% Mukhriz Tun Mahathir
4% Dr Mohamad Khir Toyo
5% Zahidi Zainul Abidin