Semalam pada 13 Oktober 2008, ada hal yang membuatkan saya berasa musykil, kemana hilangnya wakil-wakil BN yang mahu berbahas tentang belanjawan 2009? Yang ada cuma YB Batu Pahat, Datuk Fuad, yang mempertahankan kewajaran bajet asal yang menerima sindiran dan cemuhan DS Anwar serta Lim Kit Siang.

Secara keseluruhannya, DS Anwar berjaya menimbulkan persoalan kewajaran bajet tersebut untuk dibahaskan, dengan mengambil-kira keadaan nilai semasa matawang negara dan harga minyak.

Secara mudahnya, bagaimana kerajaan mahu menampung perbelanjaan semasa kerana jumlah pendapatan negara sudah berkurang berdasarkan harga minyak sekarang berlegar sekitar USD 80/tong dan minyak sawit sekitar RM 1,800/tan metrik. Ketika Bajet 2009 dibentangkan, harga minyak dan minyak sawit sekitar USD 120/tong dan RM 2,000/tan metrik masing-masing. Anggaran pendapatan tersebut mestilah kurang tepat, samada ianya perlu dinilai semula atau jumlah perbelanjaan harus disemak semula berdasarkan unjuran tersebut.

Ketika Bajet 2009 dibentangkan, defisit dianggarkan pada 3.8%.. dengan penurunan pendapatan kerajaan, sudah tentu anggaran defisit tersebut akan lebih tinggi dan kurang tepat.

Selain itu, DS Anwar juga menuntut beberapa penjelasan berhubung beberapa projek mega dan pembelian helikopter Eurocopter untuk menggantikan helikopter Nuri.

Keseluruhannya, sidang Parlimen dikuasai oleh wakil pembangkang dan berjaya dimanupulasi dengan baik oleh DS Anwar. Wakil-wakil BN kelihatan diam membisu dan kelihatan takut-takut untuk berhujah dan berbahas.

Walaupun hujah-hujah dari DS Anwar ada benarnya tetapi ianya masih boleh dipertikaikan. Saya tidak berminat untuk menghuraikan persoalan itu, kerana saya berasa lebih musykil dengan ketiadaan DS Najib selaku Menteri Kewangan dan lain-lain menteri kabinet untuk bersikap ‘gentleman’ dalam persidangan tersebut.

Saya tidak tahu adakah ini salah satu strategi wakil BN dan menteri-menteri kabinet untuk memulaukan perbahasan, ..atau mereka mahu melihat rentak-tari Anwar terlebih dahulu sebelum bersedia, ..atau takut hilang idea dan bimbang sekiranya diserang dengan hujah-hujah Anwar.

Secara peribadi.. hari pertama perbahasan Bajet 2009 amat mengecewakan kerana menteri-menteri kabinet yang berkaitan tidak turut serta untuk berbahas mengenai hal itu. Bagaimanapun, kita boleh melihat perkembangan terbaru perbahasan bajet pada 14/10/08 kerana ianya telah ditangguhkan untuk mendengar penghujahan dari wakil Kementerian Kewangan.