Saban hari Melayu didendangkan dengan irama dan lagu Ketuanan Rakyat ciptaan Anwar Ibrahim. Pelbagai slogan dan tarikh dihebohkan untuk mengamit minat rakyat yang sememangnya ‘letih’ dengan stail kepimpinan Pak Lah.

Dari tarikh yang tidak menjadi sehinggalah kepada slogan yang tiada berisi, satu gelombang baru diwujudkan oleh mereka yang ultra dan ‘chauvinist’.. dari isu keadilan kepada rakyat, beralih pula kepada isu kesama-rataan untuk semua kaum.

Kesama-rataan kaum bermaksud tiada lagi hak istimewa Melayu, tiada lagi  DEB, tiada lagi Sultan dan Raja.. bukan Melayu boleh jadi PM, bukan Melayu boleh jadi Ketua Hakim, boleh jadi Ketua Polis dan Panglima Angkatan Tentera.. bukan Melayu boleh menjadi pemimpin kepada Melayu yang dilihat lembik dan bodoh.. percayalah, Melayu tidak bodoh.

Read the rest of this entry »

Jika kita menilai dan mengkaji kelemahan Islam.. selain kelemahan umat Islam itu sendiri (faktor peribadi), faktor perancangan yang teliti dan tersusun dari musuh Islam juga memainkan peranan (faktor luaran) dan faktor yang paling bahaya ialah ‘wajah-wajah’ individu yang memakai topeng Islam tetapi memperjuangkan idea yang tidak mengikut Al-Quran dan As-Sunnah (faktor dalaman).

Sebagai Muslim, kita wajib percaya kepada Qadak dan Qadar Allah (faktor luar kawalan) tentang ujian atau bala kepada sesuatu bangsa agar bangsa itu dapat mengambil iktibar dan menerima ilmu/ peringatan yang baru dan seterusnya merangsang pertumbuhan otak sebagai enjin untuk berfikir.

Read the rest of this entry »

Apabila Barrack Obama menang jawatan Presiden US, maka ahli-ahli Pakatan Rakyat bertempik melolong mengatakan jika AS boleh mengambil rakyat kulit hitam sebagai presiden.. kenapa Malaysia tidak boleh? Antara mereka yang turut bertempik ialah sebahagian pemimpin Melayu dalam PR itu sendiri (kononnya mempunyai pemikiran yang terbuka).

Dalam Buletin Utama TV3 malam tadi, Tun Dr Mahathir membayangkan Malaysia suatu hari nanti juga boleh mempunyai PM dari kaum lain melalui gagasan Bangsa Malaysia. PM akan dilantik dari parti yang menerima majoriti rakyat.. Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir berkata, proses tersebut akan memakan masa yang agak lama juga dan secara berperingkat.

Read the rest of this entry »

KOTA BHARU: Umno Kelantan menggesa pemimpin Gerakan menghentikan kenyataan menekan Umno atau Barisan Nasional (BN) berkaitan ucapan Ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail, di Permatang Pauh, baru-baru ini.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata ucapan Ahmad adalah hak peribadinya dan sama seperti kenyataan yang dikeluarkan beberapa pemimpin Gerakan yang pernah mengugut untuk keluar BN.

“Kenyataan Ahmad itu adalah hak peribadinya dan sama seperti kenyataan pemimpin Gerakan yang pernah mengugut keluar BN ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh selain menuduh Umno bersifat perkauman,” katanya semalam. Lihat berita penuh disini..

————————————————————————————–

Memang Umno sudah tertekan..

Orang tua-tua kata.. “Terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata binasa,” walaupun ianya lebih merupakan pandangan peribadi Datuk Ahmad, tetapi dengan keadaan sekarang ianya seolah-olah mencerminkan pendirian Umno secara keseluruhannya.

Bukankah itu isu yang diputar-putarkan oleh Umno dalam pilihanraya Permatang Pauh baru-baru ini?.. dan kita boleh parti-parti komponen BN diam seribu bahasa terutamanya MCA dan Gerakan.

Umno terjerat dengan permainan DS Anwar dalam hal ini..

Anwar cuba meraih populariti dari orang bukan Melayu agar menyokong menjayakan cita-cita politiknya, tetapi orang Umno yang melatah lebih.. bermula dari Naib Kanselor UiTM, yang mempersoalkan kuota 10% pelajar bukan Melayu dalam UiTM.

Sememangnya orang Melayu tetap berhak di Malaysia, dan kaum lain juga ada hak mereka juga. Keadilan untuk mendapatkan keperluan asas untuk cari makan dan hidup. Sebelum ini.. hal sebegini tidak menjadi mainan mulut rakyat, tetapi ianya sudah menjadi bibit-bibit barah dalam masyarakat.

Siapa yang bersalah.. Anwar kah? atau Umno kah?

Sepatutnya.. pemimpin Umno jangan cepat melatah dan emosi. Tanganilah isu ini seumpama “menarik rambut dalam tepung”.. rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Jangan terikut-ikut dengan rentak Anwar.. akhirnya terkena dek strategi lawan.

Berilah peluang untuk orang lain bersuara, jangan dilawan.. fikir dalam-dalam, mungkin ada benarnya. Jika kita salah, kita cuba baiki.. bukannya melenting tanpa usul periksa. Api yang membara, jika dicurah minyak.. api akan menjadi besar. Api ketika kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan..

Tidakkah kita ingat pada pesan orang tua-tua.. nasihat perihal api.

————————————————————————————-

Saya teringat akan kata TG Nik Aziz berkenaan soal kepimpinan .. beliau tidak kisah siapa yang memerintah, asalkan dianya orang Islam. Kalau dia orang Cina yang muslim, dia boleh jadi PM .. kalau orang India yang muslim, dia juga boleh jadi PM.

Soal perkauman adalah satu cabang pemikiran yang sempit. Kita boleh lihat apa sudah jadi kepada bangsa Arab yang mengutamakan soal keturunan, puak dan suku-suku kabilah mereka. Adakah bangsa Arab sudah jadi maju sekarang? Apa yang boleh dilihat.. bangsa Arab makin mundur adalah..

Zaman Nabi Muhammad s.a.w. dulupun, bangsa Arab sudah berpecah-belah.. kita boleh lihat sejarah keegoan kaum masing-masing untuk meletakkan batu Hajarul Aswad kepada Kaabah, tetapi perbalahan ini berakhir apabila ketua-ketua kaum bersetuju dengan cadangan seorang pemuda agar batu itu diletakkan atas sehelai kain dan diangkat bersama-sama oleh ketua kaum.

Akhirnya, pemuda itu sendiri yang meletakkan Hajaru Aswad ketempatnya.. tanpa bantahan dan pertumpahan darah.

Teladan yang boleh dipelajari disini ialah, dengan sedikit kebijaksanaan dan toleransi.. permasalahan kaum dapat diselesaikan. Dan kenapa pemuda itu sungguh istimewa? .. kerana akhlaknya yang baik dan tidak cenderung kepada mana-mana kaum.

————————————————————————————-

Isu perkauman sememangnya sudah lama membarah dalam masyarakat.. di kawasan majoritinya Melayu, orang Cina dipandang prejudis.. di kawasan majoritinya Cina, orang Melayu juga dipandang prejudis. Ini adalah lumrah alam.. sebab itu ada ayat Allah yang mengatakan manusia ini sengaja dijadikan dalam pelbagai kaum, jenis dan jantina.. agar kamu saling kenal-mengenali dan saling hormat-menghormati kerana Allah.

Dalam hal ini.. Melayu kena berjiwa besar. Tunjukkan Melayu bersikap bijaksana.. dan orang bijaksana akan ramai pengikutnya.

Mungkin kerana panik dan mungkin juga kerana ego, pemimpin-pemimpin Umno cuba menegakkan benang basah. Mungkin juga kerana leka cari duit.. terlupa isu ini, mungkin juga kerana terlampau ramai kaki ampu dan bodek.. tiada orang berani bersuara. Al hasilnya.. pemimpin lalai dan leka.

———————————————————————————–

Sebagai rakyat biasa, kuasa kita hanyalah undi dan pengaruh kepada orang-orang terdekat sahaja. Janganlah kerana pemimpin kita memainkan isu ini.. kita pun melompat suka dan sama-sama ‘naik-minyak’ dengan pemimpin kita .. padahal kita sudah tahu apa kesannya nanti dan apa baik-buruknya.

Sebagai Melayu.. kembalilah kepada Islam yang sebenar. Islam yang memandang setiap manusia adalah sama tarafnya, tidak mengira apa warna kulitnya dan apa keturunannya.

Hormatilah jiran rumah sebelah kita walaupun mereka berbangsa lain dari kita.. bangsa Cina ke, bangsa India ke, Siam ke.. Bangla ke.. Kita tidak rugi dengan menghormati orang lain. Amalan ini adalah satu amalan yang memberi kesan yang baik kepada kita dalam jangka-panjang. Bagaimanakah orang lain mahu menghormati kita, ..jika kita sendiri tidak mahu menghormati orang lain?

Sebelum ini, MB Selangor mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera serta pelajar asing. Tan Sri Khalid berkata, cadangan itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi  pengajian tinggi (IPT) tersebut.

Menurut beliau, syor itu juga dianggapnya sebagai wajar dan tepat dengan usaha UiTM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan Bumiputera yang berdaya saing.

Semalam.. 3000 pelajar UiTM berarak memprotes cadangan tersebut dengan kenyataan berapi-api presidennya dan sorak-sorai penyokong dan pelajar. Pak Lah pula menyokong pelajar-pelajar UiTM. Apalah Pak Lah ni.. menangguk di air keruh sahaja.

Berbalik kepada isu asal.. perlukah Melayu melatah? Adakah Melayu ini bangsa yang terpuji sangat, atau adakah Melayu ini hebat sangat, atau adakah Melayu ini suci sangat?? Apa beza Melayu dengan Cina dan India? Apa beza Melayu dengan Mat Salleh atau Red Indian?

Kenapa Melayu tidak suka berpandangan jauh..

Ambo orang Melayu, beragama Islam dan bekas pelajar UiTM juga. Sepanjang pemerhatian ambo.. pelajar UiTM (Melayu) tidak sehebat Melayu yang berjuang di IPTA lain-lain, apatah lagi di kolej swasta. Pelajar Melayu UiTM terlalu manja dan syok sendiri sahaja.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda; “Tuntutlah ilmu walau sampai ke China”. Besar sekali maksud baginda, dengan kata lain mempelajari ilmu dari orang bukan Islam asalkan ianya berfaedah kepada diri sendiri dan Islam. Asalkan tidak mengganggu akidah..

Amerika maju kerana membuka pintu kepada semua kaum.. samada Negro, Mexico, Eropah atau Asia. Tiada istilah perkauman kecuali bangsa Amerika sahaja. Negro di sana bangga menjadi warga Amerika, orang Islam di sana bangga menjadi warga Amerika.

Ketepikan perut busuk Amerika dan dasar luarnya dulu.. Yang nyata Amerika menjadi kuasa dunia sekarang. Berjaya dalam segenap bidang ketamadunan manusia.

10% bermakna 1 nisbah 10 (1:10), adakah 10 orang Melayu tergugat kerana 1 orang bukan Melayu, adakah 100 orang Melayu tergugat kerana 10 orang bukan Melayu, adakah 1000 orang Melayu tergugat kerana 100 orang bukan Melayu?

Melayu takut kerana tiada jati diri.. Melayu takut kerana tidak percaya kepada Islam. Islam tidak mengamalkan perkauman. Allah tidak memandang harta-benda atau kaum, kecuali ketakwaan hamba-Nya. Bahkan, Yahudi pun Allah tak pandang walaupun mereka mengatakan merekalah bangsa yang paling terpuji.

Saudara-saudaraku..

Kita sedar Melayu makin terhimpit, tapi itu bukan salah kaum-kaum lain. Itu salah Melayu sendiri. Melayu malas, Melayu suka benda senang, Melayu tidak sabar, Melayu suka dengki, Melayu tamak.. Jangan cakap nak sokong Melayu lah kalau kita sendiri lebih bangga ‘speaking’.. cakap Melayu low-class. Tak payah jadi Melayu lah kalau nasi lemak dipandang hina berbanding burger.

Tidakkah membuka 10% kuota, kita orang Melayu (yang semestinya orang Islam), kita boleh menolong orang bukan Melayu lain mendapat pelajaran? Tahukah kita betapa peritnya kaum lain untuk belajar? Prihatinkah Melayu dengan airmata dan doa ibu-bapa Ah Chong atau Muthu untuk berjaya? Di manakah kebesaran jiwa orang Melayu dan Islam ini?

Tidakkah membuka 10% kuota, Melayu boleh belajar ketamadunan dan nilai-nilai moral bangsa lain. Ilmu bukan dalam bentuk buku sahaja, kehidupan juga salah satu cabang ilmu. Melayu boleh berkembang mindanya.. Ambil yang baik bukan melihat pada yang buruk. Apa agama orang lain, Melayu kena hormatinya.. Kalau Melayu tertarik kepada Kristian, itu salah Melayu sendiri. Melayu tidak ada jati diri kerana tidak bersaing dengan orang lain, lebih selesa dibawah tempurung.

Tidakkah membuka 10% kuota, UiTM akan lebih dihormati oleh syarikat-syarikat bukan Melayu. Ini akan menolong pelajar Melayu juga akhirnya. Adakah 10,000 Melayu UiTM setiap tahun dapat makan gaji dengan kerajaan belaka? Jangan salahkan syarikat Cina/India kalau mereka enggan menerima graduan Melayu, salah Melayu sendiri kerana tidak hormat kepada orang lain, jangan salahkan kaum lain kalau mereka tidak hormat kepada Melayu.

Kenapa perlu 90% takut kepada 10% ?? 90% bermakna penguasaan total Melayu.. tidak timbul soal kedaulatan Melayu tercemar. Pokoknya Melayu takut kepada bayang-bayang sendiri, takut orang lain cuba mencuri hak pengajian Melayu. Adakah Melayu sahaja yang berhak belajar? Melayu gagal kerana berkampung dihalaman sendiri setelah gagal dirantau orang.

Orang lain berjuang untuk hidup tetapi Melayu mahu disuap untuk hidup. Alangkah malunya budi Melayu.. saya juga Melayu. Dan saya tidak malu mengutuk diri sendiri kerana saya mahu maju dalam hidup.

Percayalah.. sekiranya kita mengamalkan perkauman atau assabiyah ini, kita akan lebih ketinggalan. Tidaklah Allah jadikan hamba-hamba-Nya dengan pelbagai bangsa dan jantina agar kita lebih kenal-mengenali antara satu sama lain.

Memetik kata-kata Lord Palmerson, bekas Menteri Luar:

“..di dalam politik tidak ada rakan yang kekal dan tidak ada juga musuh yang kekal, yang kekal ialah kepentingan”

Kepentingan inilah hal yang membuatkan parti-parti politik berbalah dan bercakaran. Kerana kepentingan ini jugalah parti meraih isu untuk menjadi juara rakyat. Kerana kepentinganlah, ahli politik cantas-mencantas.

Kerana kepentingan inilah PAS, PKR dan DAP bersatu hati melawan UMNO. Dan kerana kepentingan ini jugalah UMNO mengajak PAS bersatu untuk kekal berkuasa.

Persoalan yang timbul.. Adakah penyatuan kedua parti pro-Melayu ini untuk kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu? Atau adakah untuk kelangsungan survival kuasa parti atau untuk pemimpinnya?

Dalam realiti kehidupan rumahtangga, pasangan yang ‘rujuk’ semula lebih memahami keperluan masing-masing. Kalau saling-menghormati dan senantiasa sedar kesilapan lalu, membuatkan pelayaran bahtera rumahtangga dapat dikemudi dengan berhemat dan berhati-hati.

Kekal atau tidak, bergantung kepada kepentingan masing-masing..

Dalam hal PAS-UMNO, ada sejarah hitam masing-masing, kali ini peluang tiba untuk memutihkan sejarah hubungan mereka. UMNO perlu kepada PAS untuk terus relevan kepada orang Melayu dan kekal berkuasa, PAS perlu kepada UMNO untuk tambah berkuasa.

Sekiranya benar desas-desus PAS akan beroleh 4 kerusi menteri dan 3 kerusi TM, PAS akan lebih berkuasa. Kedah, Kelantan, Selangor, Perak dan Selangor akan diketuai oleh PAS. Terengganu dan Pahang akan mendapat Timbalan Menteri Besar dari PAS.

Ini lebih menguntungkan PAS berbanding kerjasama dalam Pakatan Rakyat. PAS hanya benar-benar berkuasa di Kedah dan Kelantan, di Perak dan Selangor hanya menjadi ‘yes man’ kepada Pakatan Rakyat, di Pulau Pinang, PAS hanya telan air liur sahaja.

Tidak dinafikan, PAS ‘makan hati’ berada dalam PR, terutamanya dengan PKR. Sudah terang lagi bersuluh, kalau PKR dapat menerajui pemerintahan negara, Anwar Ibrahim akan jadi PM. Siapa nak jadi TPM? Lim Guan Eng atau Hj Hadi? Percaya atau tidak.. PAS akan diperkudakan juga nanti.

Anwar Ibrahim yang cukup galak berkempen sekarang ini, seolah-olah mencanangkan gendang ke seluruh negara bahawa dialah bakal PM dalam proses. Kes peribadinya yang belum selesai benar-benar membebankan PAS. Falsafah liberalisme yang dipegang oleh Anwar, membuatkan PAS sedikit gusar Mungkin ini konspirasi BN dan mungkin juga BN betul, hanya Allah yang tahu. Wallahu’alam..

Di Selangor, isu azan menjadi kejutan buat PAS. DAP minta Selangor jadi macam Turki, tak boleh azan kuat-kuat. Di negeri Perak, DAP yang menguasai exco, Ir Nizar pening kepala nak jaga kepentingan Islam dan nak jaga kerjasama PAS dengan DAP, PKR.

Atas sebab inilah, PAS tertarik dengan UMNO. Tetapi faktor penghalang ialah buruk sangka PAS kepada UMNO dan keraguan UMNO untuk mendaulatkan Islam. Kerjasama ini boleh jadi menguatkan PAS dan boleh jadi melemahkan PAS.

Dari jangka pendek, PAS akan beroleh keuntungan segera, PAS dapat bonus dan PAS dapat durian runtuh. Dari segi jangka panjang, PAS akan beroleh cabaran besar. Cabaran baru..

Cabaran untuk kekal berkuasa dan cabaran untuk mentarbiahkan ahli UMNO yang pekat dengan sifat hipokrit, kronisme dan rasuah. Budaya yang diwarisi turun-temurun dari dulu, yang berkembang subur pada era Dr Mahathir. Apakah PAS mampu untuk menggalas beban ini?

1.  Sekiranya PAS mempunyai kemampuan spiritual dan kewangan, mungkin PAS boleh.

2.  Sekiranya PAS matang dengan silat politik UMNO, mungkin PAS boleh.

3. Sekiranya PAS-UMNO ikhlas dengan KEPENTINGAN Islam dan Melayu, mungkin PAS boleh.

Antara 1 dan 2, PAS bertahan tidak lama.. samada PAS juga akan hanyut dalam UMNO atau PAS akan keluar buat kali ke-dua dari pakatan. Kena bermula dari bawah semula.

Jika dengan alasan 3, PAS boleh pergi jauh, bergantung kepada keikhlasan dan kesungguhan masing-masing menjaga KEPENTINGAN itu. Yang selebihnya, terserah kepada Allah Ta’ala. Yang Maha Mengetahui, yang Maha Tinggi ilmu-Nya.

Wallahua’alam..