Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan Abdul Razak Baginda pukul 10 pagi pada 31/10/2008, manakala dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diarah untuk membela diri. Kesimpulannya, Abdul Razak sudah bebas dan Cif Inspektor Azilah Hadri serta Koperal Sirul Azhar Umar hampir pasti didapati bersalah.

—————————————————————————-

Yang pasti, mesti ada seseorang yang jadi ‘kambing hitam’ atau ‘terkorban’ agar kes ini dapat diselesaikan secara teknikal. Tetapi dari segi logik dan rasional akal, kes ini akan tetap menjadi persoalan dan tanda-tanya orang ramai.

Adakah logik seseorang pegawai kerajaan berani berbuat sesuatu tanpa merujuk kelulusan ‘bos’nya terlebih dahulu? .. Atau adakah pegawai kerajaan itu tadi telah salah faham akan maksud arahan yang dikeluarkan, disuruh buat A tapi yang dibuat ialah B? .. Atau siapakah ‘Boss’ yang sebenar yang menjadi dalang dalam kejadian ini? Read the rest of this entry »

Advertisements

Dalam Malaysiakini, ada dilaporkan bahawa Raja-Raja Melayu telah berunding dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke 125 di Istana Maziah, Kuala Terengganu. Berikutan dengan perjumpaan tersebut, satu kenyataan media khas telah telah dikeluarkan. Baca kenyataan penuh disini..

—————————————————————

Antara intipati kenyataan media khas Raja-Raja Melayu :-

1) “Raja-Raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.”

Ampun Tuanku.. apa kata YB Anwar dan YB Teresa Kok? apakah mereka ini tidak akan terasa hati dengan titah Tuanku nanti? Yang mereka sibuk-sibuk kata Melayu ini rasis apa halnya pulak? Raja-Raja Melayu sudah memberi jaminan bahawa kaum-kaum lain TIDAK DIPINGGIRKAN.

2) “Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.”

“Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.”

Ampun Tuanku.. pada siapa Tuanku ajukan kenyataan tersebut? Setahu patik, parti DAP sememangnya tidak puas hati sejak dahulu lagi kerana konsep Malaysian Malaysia tidak diterima, dan ini disuarakan dengan lantang pula oleh YB Teresa dan YB Tan Lian Hoe. Malangnya, Majlis Peguam juga cuba menjadi juara dalam undang-undang dan diiktiraf oleh DS Anwar Ibrahim.. dan sesetengah YB Pas mengangguk setuju walaupun YB Zulkifli mahu dikenakan tindakan displin kerana membantah forum tersebut.

3)  “Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakarang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

“Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

Ampun Tuanku.. adakah Tuanku bermaksud Anwar, Teresa Kok dan lain-lain penyokong fanatik Pakatan Rakyat itu bodoh-bodoh belaka? Tetapi patik musykil Tuanku.., kerana mereka-mereka ini mengatakan UMNO telah memanipulasikan fakta-fakta sejarah? Adakah UMNO juga telah menipu Raja-Raja Melayu dan orang Melayu sejak dahulu lagi? Masakan YB-YB Pakatan Rakyat boleh bodoh, mereka ini golongan terpelajar dari ‘oversea’ dan ramai kawan di Amerika, Turki, Dubai dan Indonesia.. Anwar kata rakyat kena lawan kerajaan dengan buat rusuhan dan demonstrasi, kalau takut.. usah bicara pasal perjuangan. Apakah Tuanku bermaksud Pilihanraya Umum itu tidak sah dan membuang masa sahaja?

4)  “Justeru, adalah perlu Majlis Raja-raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai ‘Social Contract’.

‘Social Contract’ ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-Raja Melayu wajar mempertingkatkan supaya isu berkaitan ‘Social Contract’ tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

Ampun Tuanku.. YB-YB Pakatan Rakyat mengatakan ‘Social Contract’ ini sudah lapuk dan ketinggalan zaman, malahan mereka juga mencadangkan agar Artikel 153 dirombak semula.. malahan YB Permatang Pauh juga bersetuju dan tidak membantah kata-kata mereka. Bukankah ini bertentangan dengan kenyataan Tuanku?

Apakah Tuanku bermaksud kaum-kaum lain selain kaum Melayu boleh cari makan dan mengumpulkan harta sebebas mungkin dinegara Malaysia selama ini? Apakah Tuanku bermaksud orang-orang bukan Islam bebas menganuti agama masing-masing tanpa sekatan? Tetapi kenapakah mereka kata hak-hak mencari rezeki dan beragama telah dinafikan dan disekat?

Perlukah patik berjumpa dengan YB Teresa Kok dan Bar Council untuk menyampaikan pesanan Tuanku ini?

5)  “Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era pra kemerdekaan, berfikiran dalam berpandangan jauh. Raja-Raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi Raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan  Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak Kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi Raja Berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

Ampun Tuanku.. parti Pakatan Rakyatkah yang membawa bersama Raja-Raja berunding dengan British untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu? Kenapakah YB-YB Pakatan Rakyat berkata UMNO telah menipu rakyat tentang fakta kemerdekaan? Mereka mendakwa Parti Komunis juga berjuang untuk kemerdekaan negara, adakah ini benar Tuanku?

Ampun sekali lagi Tuanku.. apakah tindakan Anwar cuba menjadi PM Malaysia dengan main lompat-lompat tanpa pilihanraya umum mendapat perkenan Tuanku? Apakah Tuanku sudah memberi perkenan kepada Anwar untuk memberi tarikh 16 Sept, 1 Okt dan 31 Dis untuk beliau menjadi PM? Apakah Tuanku sudah memberi ‘lampu hijau’ secara berahsia atau melalui isyarat ‘kenyit mata’ agar Anwar dilantik sebagai PM? Patik musykil Tuanku, kerana YB-YB Pas sudah yakin dan mendakwa sudah mendapat persetujuan Istana.. mereka-mereka ini lebai, masakan mereka mahu bercakap bohong?

6) “Majlis Raja-Raja juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok”.

Ampun Tuanku.. YB-YB Pas kata UMNO ini parti kafir dan sekular, kerana itulah jamuan makan UMNO tidak boleh dihadiri kerana haiwan sembelihan mereka tidak sah dan juga melalui sumber rasuah. YB-YB Pas juga mendakwa hanya mereka Melayu-Islam yang sejati. Orang lain tidak pandai sembahyang, berzikir dan berbuat baik kerana tidak selari dengan Islam acuan Pas. Mereka rela bekerjasama dengan syaitan dari UMNO, kerana UMNO akan masuk neraka dan mereka akan masuk syurga kerana pangkah PAS. Mereka juga kata Majlis Ulama dalam UMNO tidak relevan, hanya mereka sahaja yang berhak memperjuangkan Islam.

Apakah Allah memandang parti atau ketakwaan peribadi untuk diletakkan dalam timbangan di akhirat, Tuanku? YB-YB Pas juga pandai ‘makan komisen’, tebang balak untuk dijual, memohon tanah-tanah anugerah kerajaan untuk harta peribadi dan ada sikit kroni-kroni.. apakah mereka ini ‘maksum’, Tuanku?

7)  “Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.”

“Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara.”

Ampun Tuanku.. patik tak puas hati lagi. YB PR kata Artikel 153 telah menghakis hak-hak mereka, mereka telah dinafikan untuk mencari rezeki.. dinafikan menganut agama masing-masing.. dinafikan mengumpul harta.. dinafikan kebebasan mengamalkan budaya nenek-moyang.. dan lain-lain, sehingga mereka mengatakan kerajaan membuat dasar kepupusan etnik mereka secara terancang. Ada pula YB PR yang beroleh keistimewaan dari artikel tersebut sudah bosan dan bersetuju artikel tersebut dirombak.

(Termenung) Ooo.. fahamlah patik Tuanku..

Rupa-rupanya Pakatan Rakyat tidak berjuang untuk mengekalkan prinsip dan sejarah kemerdekaan Tanah Melayu. Mereka sudah ‘open-minded’ dan moden, kerana itulah Artikel 153 sudah dianggap lapok dan ketinggalan zaman. Fahamlah patik kenapa mereka suka mencaci-maki kerajaan kerana mereka sudah ‘advance’ dan orang lain itu bodoh dan tidak betul. Hanya mereka yang pandai berfikir dan betul belaka..

Fahamlah patik.. rupa-rupanya kaum Cina dan India sebenarnya telah memperolehi kebebasan sewajarnya untuk bersama-sama menjadi warga Malaysia, apa yang diperlukan ialah sedikit hormat, kesabaran, pengorbanan dan toleransi kepada kaum Melayu kerana Melayu agak ketinggalan dalam serba-serbi bidang hasil dari penjajahan British dahulu. Mereka boleh memperjuangkan nasib kaum masing-masing mengikut saluran masing-masing dengan berhemah dan patuh kepada perlembagaan dan peraturan.

Fahamlah patik Tuanku.. Melayu harus bersatu-padu dan tolong-menolong antara satu sama lain tanpa mengira ideologi politik dan mahu menunjuk pandai berhujah isu agama. Melayu yang kaya harus menolong Melayu yang miskin, Melayu yang bodoh wajib menimba ilmu sedaya yang boleh.. Melayu juga patut menghormati perasaan kaum-kaum lain kerana mereka juga rakyat Malaysia. Melayu juga jangan lalai dengan Islam sebagai panduan hidup.

Fahamlah patik kenapa 5 pemimpin tertinggi Pas dipanggil dalam mesyuarat PR. Rupa-rupanya mereka cuma mengemas-kinikan carta organisasi dan memperkemaskan dasar parti (yang sebelum ini berterabur dan kelam-kabut), bukannya mahu mengambil-alih kerajaan.. Rupa-rupanya segala strategi dan propaganda, lompat-melompat, usul tidak percaya dan tarikh-tarikh yang ‘gempak’ dan ‘jom-heboh’ tidak membawa makna apa-apa jika tiada perkenan YDP Agung Malaysia.

Fahamlah patik.. YDP Agung hanya mahu menerima nasihat dari PM yang dilantik secara sah melalui Pilihanraya Umum sahaja !!

Dalam Malaysiakini, Syed Hamid berkata, sekiranya tidak dibendung, Hindraf akan terus mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan dan kedaulatan negara malah menjejaskan keharmonian hidup berbilang kaum. “Tindakan pengharaman yang diambil bukannya berasaskan kepada satu atau dua kegiatan pertubuhan yang menyalahi peraturan dan undang-undang tetapi meliputi rentetan semua kegiatan dan aktiviti yang telah dilakukan sejak pertubuhan ini diwujudkan,” katanya. Berita selanjutnya disini

————————————————————————————-

Apa yang saya nampak, kerajaan mahu membantutkan ‘suara-suara sumbang’ dalam negara.. sudah tentu ‘rakan-rakan sebantal’ Hindraf akan mengeliat kepanasan mendengar berita ini. Ada juga pihak yang mahu ambil kesempatan ini mahu cari populariti dalam politik. Samada niat perjuangan kita berniat baik atau tidak, kita tetap tertakluk kepada undang-undang. Jadi, kita kena hormati peraturan yang ada..

Kepada ex-Hindraf, jangan bimbang.. buat pertubuhan baru, daftar baru. Harap-harapnya.. wadah perjuangan terbaru Hindraf tidak lagi dicop sebagai ultra-India dan suka sangat demonstrasi sana-sini. Hindraf kata mereka rakyat Malaysia, tapi minta tolong Ratu Elizabeth kat London tu apa ceritanya? Jangan pula kerana taksub melulu untuk memperjuangkan nasib kaum, anda tidak menghormati perasaan dan adab-susila kaum lain. Berjuang secara berhemah..

Kena ingat.. ini negara ADA UNDANG-UNDANG. Itu YB Teresa Kok, selalu kata undang-undang Malaysia bawah pentadbiran BN tidak adil dan berat sebelah, apa pasal guna undang-undang Malaysia mahu saman Utusan RM 30 juta? Kenapa tidak mahu guna itu undang-undang Papua New Guinea ka? Somalia ka? Ayah Pin ka?

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Utusan Melayu (M) Bhd. hari ini menyerahkan surat tuntutan kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok (gambar) supaya beliau membuat permohonan maaf dan menarik balik pernyataan fitnah yang didakwa dibuat terhadap akhbar Utusan Malaysia.

Menurut kenyataan syarikat itu, surat tuntutan tersebut telah diserahkan kepada Teresa melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co. yang mewakili Utusan Melayu. Lihat berita selanjutnya disini..

————————————————————————————–

Ya !! Satu tindakan yang tepat dan kena pada masanya..

Saya tidak menyokong kerajaan dan BN dalam hal ini, tetapi saya menyokong kebebasan media. Tidak kira samada mereka dari Harakah, Suara Keadilan, Utusan Malaysia atau Sin Chew Daily.. mereka adalah pengamal media dan harus dihormati.

Sikap Teresa Kok sememangnya bongkak dan angkuh, janganlah kerana mempunyai tiket sebagai pembangkang, beliau sudah besar kepala dan bersikap berat sebelah kepada mana-mana media. Sekira difikirkan secara logik, sudah berbakul-bakul saman yang boleh dikeluarkan terhadap Harakah atau Sin Chew Daily kerana fakta-fakta berita yang berat sebelah.

Budaya saman-menyaman ini nampaknya sudah menjadi kegemaran dan ‘trend’ YB DAP dan PKR.. ada satu nasihat orang-orang tua, memilih untuk bersabar adalah lebih baik dari berkelahi.. tetapi, kita wajib bangkit melawan dan berjuang sekiranya maruah dan air-muka kita dipijak-pijak, difitnah dan dicabar !!

PS : Teresa Kok menyaman Utusan Malaysia sebanyak RM 30 juta, apa kata jika UM saman balik YB DAP RM 100 juta atau lebih.. kasi muflis terus, biar hilang kelayakkan sebagai ahli Dewan Rakyat. (Saya tidaklah terasa sangat dengan kenyataan Karpal Singh atau Lim Kit Siang, tetapi Teresa Kok ini memang melampau dan angkuh.. ‘tension’ jadi andartu kot?) ;p

Pada tahun 1960, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dilluluskan oleh kerajaan dibawah pentadbiran Tunku Abdul Rahman. Tujuan akta ini diluluskan adalah bagi menangani ancaman komunis. Tunku berjanji kepada Parlimen dan negara bahawa kuasa yang diberikan kepada Kerajaan di bawah ISA tidak sesekali akan digunakan bagi mengekang bangkangan dan ketidaksetujuan yang dibuat mengikut undang-undang.

Ketetapan ini dikukuhkan lagi kemudiannya oleh Perdana Menteri ketiga kita, Tun Hussein Onn, yang menyatakan bahawa ISA bukanlah dimaksudkan untuk mengekang bangkangan politik yang dibuat secara sah atau untuk menyekat aktiviti demokrasi rakyat.

Bagimanapun, Tunku Abdul Rahman sendiri pun telah memungkiri janjinya. Pada 1965, pentadbirannya telah menahan Burhanuddin Helmi, iaitu seorang intelektual Melayu yang cukup hebat dan seorang nasionalis yang kebetulannya juga turut menjadi seorang pemimpin PAS. Dia telah diletakkan dalam tahanan sehingga dia meninggal dunia pada 1969.

Malah tokoh kesusasteraan kita, ‘sasterawan negara’ Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail juga telah ditahan di bawah ISA pada 1976. Pada 2001, aktivis-aktivis ‘reformasi’ Keadilan telah ditahan dan diikuti oleh penahanan anak Nik Aziz, Nik Adli, yang dikaitkan dengan aktiviti militan. Pada tahun 2007, 5 orang aktivis Hindraf yang berdemonstrasi pula ditahan dan dikaitkan dengan kumpulan militan Pemisah Tamil Eelam Sri Lanka.

Terbaru, pada tahun 2008, 3 orang pula yang ditahan dibawah ISA iaitu seorang ahli politik, wartawan dan blogawan Raja Petra Kamarudin. Bagaimanapun, 2 orang telah dibebaskan dan yang masih kekal ditahan ialah Raja Petra dan dimasukkan ke kem Kamunting.

Perihal akta ISA ini telah disentuh oleh Zaid Ibrahim dalam Malaysiakini, 30 Sep 2008.

————————————————————————————–

Dengan kata lain, tujuan ISA diperkenalkan ialah untuk membanteras gerakan bersenjata yang mahu menggulingkan kerajaan dengan cara militan.

Jadi, kenapakah kerajaan mahu menangkap mereka yang tidak sealiran pemahaman dengan mereka? Bukankah ianya bermotif politik? Kerana mereka-mereka ini mengancam kesinambungan kerjaya politik sesetengah pemimpin. Sekiranya ianya bermotifkan politik, sememangnya kerajaan telah menyalah-gunakan Akta ISA dan telah berlaku zalim.

Hal tersebut sememangnya bermotifkan politik kerana akta ISA adalah dibawah budi-bicara Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diterajui oleh orang politik. Saya percaya, sekiranya kerajaan berjaya diambil-alih oleh pembangkang.. akta ini juga akan dikekalkan kerana ianya masih relevan.

Objektif akta ISA ini sememangnya tepat dan bermaksud murni, tetapi telah disalah-gunakan oleh mereka-mereka yang berkepentingan politik dan kuasa. Sepatutnya akta ini dikekalkan tetapi bukan dibawah seliaan kerajaan yang memerintah.

Saya berpendapat.. akta ISA masih relevan tetapi ianya mesti dibawah seliaan badan bebas dan berkecuali, misalnya institusi di-raja, malahan institusi kehakiman dan BPR juga patut dibawah kuasa raja-raja. Dengan ini, akta ISA tidak akan digunakan dengan sewenang-wenangnya.

Apabila terdapat satu suruhanjaya ISA yang khusus, mana-mana parti politik boleh membuat laporan salah-laku mana-mana peribadi untuk dipertimbangkan agar dikenakan ISA. Ini bermakna, samada kerajaan atau pembangkang boleh membuat laporan dan ianya tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak. Seterusnya, YDP Agung boleh mengarahkan Suruhanjaya ISA mengambil tindakan selepas mendapat nasihat secara kolektif dari Perdana Menteri, Ketua Polis Negara, Hakim Negara, Mufti dan Panglima Angkatan Tentera .

Memandangkan individu yang dikenakan tahanan tanpa bicara, sepatutnya kerajaan juga bertanggungjawab memberikan perlindungan dan menjaga kebajikan kepada keluarga individu yang ditahan untuk bersikap adil. Ini kerana mereka tidak melalui proses perundangan biasa yang membolehkan diikat jamin, tahanan parol dan sebagainya.

Sepatutnya, mana-mana individu yang cuba mencetuskan isu-isu sensitif dikenakan tahanan rumah dan dipantau sementara menantikan perbicaraan mahkamah, dan mereka-mereka ini boleh didakwa dibawah pelbagai akta sedia ada seperti akta Hasutan, akta Penerbitan dan lain-lain mengikut kategori kesalahan mereka.. bukannya terus ditahan dibawah akta ISA.Sekiranya mahkamah mendapati kes mereka boleh disabitkan kepada Suruhanjaya ISA, maka nasib mereka akan diputuskan oleh Suruhanjaya.

Persoalannya.. adakah ahli-ahli politik yang menerajui kerajaan bersedia untuk mengkaji semula akta ISA ini? Pada pandangan saya.. hal ini amat sukar untuk diterima demi survival politik masing-masing. Kita memerlukan pemimpin yang berjiwa besar dan berjiwa rakyat, bukannya berjiwa bangsawan.

Disinilah kita memerlukan parti pembangkang yang efektif dan konsisten dalam menegur kekurangan dan kepincangan kerajaan sedia ada. Pembangkang dan Kerajaan sebenarnya saling memerlukan antara satu sama lain untuk mencapai keputusan yang tepat dan kolektif, dengan syarat, perbincangan berpaksikan kebajikan rakyat dan kedaulatan negara.

Adalah tidak elok sekiranya kerajaan bersikap ego tidak mahu menerima pandangan pembangkang dan juga tidak elok sekiranya pembangkang cuba mengambil-alih pemerintahan secara tidak demokratik. Soal kerajaan atau pembangkang buat kerja atau tidak.. biarlah rakyat yang menentukan. 5 tahun penderitaan tidaklah seteruk mana jika kita terpaksa mengalami penderitaan beratus tahun lamanya dan kesannya juga terkena kepada anak-cucu kita.

Sekiranya kerajaan dan pembangkang hormat kepada perlembagaan, undang-undang dan prinsip moral.. insya-Allah, kita boleh menikmati pilihanraya umum yang harmoni dan demokratik. Biarlah rakyat yang bersuara.. bukannya ahli politik yang menentukan suara rakyat. Maka dalam hal ini, kita sebagai rakyat haruslah berfikiran rasional dan bersedia menerima berita positif dan negatif yang melibatkan mana-mana pemimpin yang kita sukai atau sanjungi.

Taksub kepada mana-mana pemimpin hanya membutakan hati kita sendiri, ahli politik hanya mengambil kesempatan di atas penderitaan, emosi dan harapan kita sebagai rakyat. Kerana itulah Allah menegaskan kasih-sayang dan cinta kita kepada manusia kerana Allah lebih berkat dan tulus. Selebihnya.. kita harus terus mencari ilmu dan beramal soleh agar hati dan akal kita sentiasa hidup agar tidak mudah termakan pujuk rayu ahli politik.

Samada BN, PAS atau PKR.. mereka berlumba-lumba untuk memenangi hati kita dengan kata-kata manis, kebijaksanaan dan habuan kebendaan. Mereka adalah pria atau jejaka yang cuba menagih cinta kita. Alangkah hebatnya menjadi rakyat kerana dapat memilih kekasih 5 tahun sekali dan kita boleh bertukar-tukar kekasih sekiranya kita mahu.

PS : Bertukar-tukar kekasih ?? ..seks bebas ke ni atau gaya hidup tanpa batasan?