Hari ini Pak Lah dah umumkan beliau tidak mahu bertanding jawatan Presiden UMNO, dan mungkin akan menyerahkan jawatan PM kepada DS Najib secepat-cepatnya pada Mac 2009. Sekiranya ia menjadi kenyataan.. DS Najib dan UMNO ada masa lebih-kurang 3 tahun untuk bersiap-sedia sebelum pilihanraya umum ke 13.

Persoalannya.. kita dah nampak ‘cahaya’ perubahan dari mulut buaya, adakah kita nanti akan termasuk dalam mulut harimau pula nanti?

Banyak juga DS Najib kena buat ‘kerja’ selepas ini.. apa cerita dengan kes-kes :

  1. Apa cerita dengan skandal S.A.S : Sukhoi-Altantuya-Scorpene ??
  2. Apa cerita pasal RM 200 juta komisen pada DSAAB ??
  3. Apa cerita Bik Mama yang beli jam sampai RM 7 juta (baca:boros) ??
  4. Apa cerita pasal kasi duit RM 5 juta kepada Bala ??
  5. Apa cerita ‘queen control’ ??

Ada juga dengar cerita orang Cina tak suka beliau sebab pernah julang keris suatu ketika dulu.. erm, tahun 1969 kot. Rasanya orang Hindu suka kot pada DS Najib, sebab ada juga dengar cerita ‘Mr Ji’ selalu melawat rumahnya. Harap-harapnya skandal-skandal tersebut tidak benar dan hanyalah konspirasi politik.. Selamat Berjuang Datuk Seri.

Advertisements

Dalam Harakah Daily 8/10/08.. Dato’ Nik Aziz Nik Mat mengatakan Umno tidak sesuai mewujudkan majlis ulama seperti disarankan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abdin memandangkan parti itu memisahkan agama dalam perjuangan. Selanjutnya, beliau mengatakan majlis ulama hanya sesuai dengan gerakan Islam seperti PAS kerana sejak awal lagi konsisten memperjuangkan Islam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, PAS merujuk kepada Dewan Ulama dalam setiap gerak kerja sedangkan perkara itu tidak berlaku dalam Umno. Selain itu PAS juga mempunyai Majlis Syura Ulama iaitu badan tertinggi dalam PAS yang memutus hala tuju gerakan Islam tersebut. Baca lagi kenyataan beliau disini..

—————————————————————————————

PS : Aii.. asyik PAS aje yang betul ni. Apa salahnya kalau UMNO mahu ada majlis ulama sendiri sebagai badan penasihat parti. Benda yang elok, sepatutnya PAS kena sokong. Raja-Raja Melayu pun ada Majlis Ulama mereka yang tersendiri, PAS tak bising pun.

Pada pendapat saya, tak perlulah merujuk kepada PAS semata-mata kalau mahu mendalami Islam. Ramai lagi ilmuwan Islam yang bebas dari politik kat luar sana yang boleh jadi pembimbing. Majlis Syura itu samalah semacam Majlis Tertinggi dalam UMNO. Bezanya.. UMNO tiada Majlis Ulama, biarlah diaorang jika ada semangat nak insaf.. bukan PAS saja yang mahu masuk syurga, orang lain nak juga.

Kalau UMNO mahu ada Majlis Ulama pun bising, nampak sangat PAS tak mahu UMNO insaf.. PAS mahu tengok UMNO terus lalai agar orang lain pakat-pakat sokong PAS jika mahu Islam. Itu ada motif politik juga tu.. bukannya mahu melihat Islam mekar, tapi mahu bertopengkan agama agar dapat kuasa. Kalau ada niat semacam tu, bukan ikhlas namanya.

(Dikemas-kini)

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti itu Mac depan. Beliau juga akan melepaskan jawatan perdana menteri dan menyerahkan kuasa kepada timbalannya pada bulan Mac apabila Datuk Seri Najib Razak dipilih sebagai presiden baru parti itu.

Menurut Abdullah, tempoh tamat jawatannya sebagai presiden Umno ialah Mac tahun depan. Abdullah berkata, beliau akan menyerahkan jawatan perdana menteri selepas Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi presiden Umno.

Perdana menteri juga menegaskan bahawa keputusannya itu adalah muktamad.

“Saya ingin serahkan kepada Datuk Najib supaya Malaysia boleh menghadapi cabaran global, kerana ini bukan masa untuk berbalah sesama sendiri tetapi adalah masa untuk perpaduan, dengan mengutamakan kepentingan negara,” katanya.

Keputusan perdana menteri itu, yang diumumkan dalam taklimat Dewan Tertinggi BN petang ini sudah dijangka sejak keputusan terbaru mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) bulan lepas. Ikuti artikel Malaysia disini..

———————————————————————————–

(Artikel sebelumnya 8/10/08)

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan satu perjumpaan penting selama tiga jam – mulai 11.00 malam 7 Oktober 2008 hingga 2.00 pagi 8 Oktober 2008 – di Sri Perdana, Putrajaya, untuk memuktamadkan keputusan sama ada beliau akan bersara atau terus mempertahankan jawatannya selaku Presiden UMNO dalam pemilihan parti Mac 2009.

Keputusannya: Abdullah akan terus mempertahankan jawatan Presiden UMNO.

Bagaimanapun, adalah tidak diketahui sama ada perjumpaan di atas juga mencadangkan supaya persidangan perwakilan bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara yang dijadualkan bermula hujung minggu ini akan ditunda ke tahun Februari 2009.

Perjumpaan berkenaan dihadiri kira-kira 200 orang, termasuk beberapa wakil khas Datuk Seri Ali Rustam yang tiga hari lalu menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Abdullah dijangka mengumumkan keputusannya untuk mempertahankan jawatan Presiden UMNO ini selepas beliau bermesyuarat dengan para pemimpin tertinggi komponen Barisan Nasional (BN) di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, 3.00 petang ini.

Berita ini saya dapat dari blog Kuda Kepang, Ruhanie Ahmad

————————————————————————————

PS : Saya tidak hairan jika Pak Lah mahu ‘flip-flop’ lagi, saya ada menyatakan dalam artikel sebelumnya.. keputusan akhir Pak Lah akan ditentukan oleh anak menantunya dan juga jaminan dari Najib. Siapa yang lebih beliau percaya? anak-menantunya atau Najib..

Secara tidak langsung.. Najib akan bertanding jawatan Timbalan Presiden, dengan adanya bilangan pengampu yang ramai menawarkan diri untuk bertanding, tekanan kepada Najib akan bertambah dan meletakkan Muhyidin dalam keadaan serba-salah.

Dari sudut yang lain.. tindakan ini sebenarnya memudahkan agenda Ku Li-Najib-Mahathir-Muhyidin untuk kekal ‘on-track’. Kita tunggu dan lihat siapa yang lebih kuat dalam politik rimba UMNO ini. Apa-apa pun, kita tunggu berita dari Pak Lah sendiri petang ini..

Tg Razaleigh sudah kecewa?

October 5, 2008

Dalam mStar online.. Tg Razaleigh Hamzah tidak menafikan beliau ada bertemu pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat seperti Anwar Ibrahim, Hj Hadi dan Lim Kit Siang. Beliau bagaimanapun berkata, pertemuan-pertemuan itu hanya berlangsung dalam “konteks kawan-kawan lama yang bertemu.”

Selanjutnya beliau berkata..

“Sebagai seorang pemimpin, saya terbuka untuk menemui kesemua ahli politik, tidak kira sama ada mereka dari Barisan ataupun Pakatan. Khususnya dalam suasana sekarang kita perlu mengatasi ketidaktentuan politik dan ekonomi, saya tidak inginkan jawatan ataupun kuasa. Saya menawarkan kepimpinan bagi negara menghadapi cabaran ekonomi global semasa,”

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga meminta kesemua ahli politik mengutamakan kepentingan negara khususnya ia penting dalam suasana seperti sekarang. Tengku Razaleigh menambah, beliau mempunyai rancangan sendiri untuk membantu negara bebas daripada persekitaran politik dan ekonomi semasa. Beliau juga turut mengecam pelan peralihan kuasa dalam Umno sekarang sebagai tidak demokratik.

————————————————————————————–

PS : Betul ke ni Ku Li ? Bunyi semacam orang kecewa jer..

Kalau beliau hendak kecewa pun memang munasabah, lebih-lebih lagi jika desas-desus Najib akan jadi PM benar-benar terjadi. Takkan Tun Dr Mahathir mahu Ku Li serang Najib pula.. objektif TDM mahu Pak Lah disingkirkan, siapa cepat dia dapat. Kalau Najib cepat, maka Ku Li meloponglah..

Duit dah banyak habis.. takkan mahu berhenti sekerat jalan pula. Mahu tidak mahu, Ku Li kena ada pelan kecemasan juga.. kalau Umno tolak dia, ada alternatif lain. Itu pun bergantung kepada pakej tawaran dari Pakatan Rakyat.. harap-harapnya Ku Li tidak berubah pendirian.

Sekarang ini ahli-ahli Umno menunggu jawapan kepada teka-teki DS Abdullah.. adakah beliau mahu berundur ataupun masih ingin kekal berkuasa. Merujuk kepada beliau baru-baru ini, pengumuman akan dibuat sebelum persidangan Bahagian pada 9 Oktober ini. Lagi 4 hari lebih kurang..

Sementara menunggu jawapan teka-teki, kita dihidangkan dengan acara-acara selingan yang dilakonkan oleh pelakon-pelakon sampingan yang dibintangi oleh DS Najib, TS Muhyidin, Datuk Zahid Hamidi, TS Muhd Taib dan Datuk Ali Rustam. Walaupun ianya acara sampingan.. acara-acara tersebut boleh memberi ramalan awal kepada keputusan akhir teka-teki. Maka, ramailah yang sibuk berSMS memberi undi dan membuat andaian serta hipotesis.. termasuklah diri saya juga.

Sedar tidak sedar.. akan ada juri-juri yang akan menilai persembahan pelakon-pelakon tadi, tentulah ‘mereka’ yang rapat lagi akrab dengan pemberi jawapan teka-teki. Mereka inilah yang akan menganalisa, membuat kesimpulan dan melontarkan hujah-hujah kepada jawapan akhir teka-teki tersebut. Kunci jawapan pemberi teka-teki terletak kepada mereka, samada mahu berundur atau terus kekal.

Siapakah mereka-mereka ini? .. Seorang ahli perniagaan dari Scomi, seorang broker dan ahli politik muda dan isterinya.

Kasih seorang ayah..

Anak adalah syurga kehidupan.. anak berjaya dan bahagia, ayah senang hati.. anak payah nak cari makan dan murung, ayah susah hati. Kasih kepada anak tidak sama kasih kepada isteri, anak adalah darah-daging tuan empunya diri.. perangai anak-anak adalah cermin kepada perangai diri sendiri. Isteri bukan darah-daging.. isteri adalah orang lain. Kalau tidak.. kenapa anak-anak yang menjadi rebutan ayah dan ibu yang tidak sehaluan?

Ayah sanggup bankrap demi anak.. ayah sanggup menebalkan muka berjumpa orang lain agar anak diberi peluang.. ayah sanggup menerima aib asalkan anaknya tidak diapa-apakan.. ayah rela mati celik dari melihat anak terkapai-kapai hilang tempat bergantung.

Kerana kasih ayah kepada anaknya.. ayah rela menipu orang lain, agar anaknya dapat makan dan hidup. Kerana kasih ayah kepada anaknya.. ayah rela menyerahkan harta agar menantunya berjaya dalam hidup, sekurang-kurangnya anaknya juga yang tumpang bahagia. Kepada sesetengah orang.. kunci kebahagiaan hidup bergantung kepada banyak mana harta yang mereka ada. Malahan pak-pak lebai juga tidak terkecuali..

Ayah kepada keluarga kecil tidak mengapa.. tetapi ayah yang menjadi pemimpin masyarakat bukannya ayah yang biasa, anak-anaknya bukan seorang dua.. malahan berjuta-juta. Kalau ayah hanya menumpukan kasih kepada seorang dua, tentulah anak-anak lain akan terasa hati.. lebih-lebih lagi anak tiri dan dan anak angkat.

Kerana itulah, sekiranya ayah tidak adil memberi kasih.. keluarga porak-peranda, lebih-lebih lagi jika ayah orang yang berharta banyak. Masing-masing berlumba-lumba mahu meraih perhatian ayah, masing-masing mahu dilihat anak yang berbakti dan berjasa. Hanya anak yang ikhlas dan soleh yang tidak terkejarkan harta dan nama, dengan keadaan zaman sekarang yang sentiasa bercampur-gaul dengan wang.. agak sukar mencari anak yang tidak gila harta.

Itu belum dikira bapa-bapa saudara yang ingin berkongsi harta.. ada bapa saudara yang berketayap hijau, ada bapa saudara yang bermata satu dan ada juga bapa saudara yang boleh bertukar kulit. Hendak pengaruh anak yang seorang dua tidak boleh, maka dijoloknya anak tiri dan anak angkat yang ramai bilangannya itu, dengan harapan anak-anak yang berjuta itu boleh memberi sesuatu faedah kepada mereka. Ini perangai bapa saudara..mereka juga ayah, bila dapat harta tentulah mahu menjaga kebajikan anak kandung mereka juga.

Zaman sekarang sudah terbalik.. anak yang memberi nasihat dan tips, si ayah hanya termanggu dan terangguk-angguk. Rasa curiga kepada anak tidak setebal rasa curiga kepada isteri. Zaman sekarang.. anak sudah pandai berlakon depan ibu-bapa, tiada beza antara anak petani atau anak pembesar.. kalau dah jadi anak, sifatnya tetap sebagai anak. Kalau ayah kurang ilmu dan taksub kasih-sayang.. alamat kena tipulah jawabnya.

Kemaruk pertandingan..

Berbalik dalam parti Umno.. agak menarik untuk diperhatikan perkembangan terbaru pertandingan jawatan Timbalan Presiden. Ada empat orang calon setakat ini.. Datuk Zahid, Datuk Ali Rustam, TS Muhd Taib sudah mengesahkan mereka mahu bertanding kecuali TS Muhyidin yang mahu bermain teka-teki juga.

Ada cakap-cakap DS Abdullah mahu berundur dan jawatan PM akan diberi kepada Najib. Tetapi, adakah pengundurannya secara percuma? Sudah tentu tidak.. ayah akan berundur apabila nasib anak-anaknya mendapat pembelaan sewajarnya terlebih dahulu.

DS Abdullah sedar gelombang perubahan yang cuba dibawa oleh Najib-Muhyidin, lebih-lebih dengan kuasa mantera dan jampi serapah Tun Dr Mahathir. Apa sangatlah kudrat setompok air berbanding selautan air.. mahu selamat, kena ikut aliran airlah. Bagi yang berakal dan ada kreativiti.. dipastikan aliran air yang deras dan merbahaya itu dialirkan melalui saluran yang sepatutnya, akhirnya air tadi akan bermanfaat juga untuk masa depan.

Begitulah yang cuba diterjemahkan dengan pencalonan Datuk Zahid, TS Muhd Taib dan Datuk Ali Rustam.. mereka-mereka ini telah diberi ‘nyawa’ baru dalam karier politik masing-masing. Mereka telah dipinggirkan dalam kabinet TDM atas sebab-sebab yang tertentu, dengan lobi dan saranan Khairy.. mereka kembali menjadi ‘seseorang’ dalam kabinet DSA dengan ikrar taat setia atau mereka akan dimalukan kelak. Mahu tidak mahu mereka terpaksa menjadi hamba politik kepada Abdullah-Khairy.

Ini agak berbeza kepada TS Muhyidin, bayangan kepada kabinet TDM dan juga pusaka peninggalan TDM selain DS Najib. TS Muhyidin agak bebas dari sistem perhambaan politik AAB-KJ cuma kuasanya agak terbatas untuk bermaharajalela. Beliau dulunya pilihan hati AAB sebagai Timbalan PM tetapi kecewa lantaran syarat TDM yang mahukan DS Najib calon penggantinya.

Demi survival politik, mahu tidak mahu TS Muhyidin harus bekerjasama dengan DS Najib sambil memantau pasaran saham politik semasa. Mana-mana saham yang ada potensi untuk naik, maka banyaklah pelaburan akan dibuat untuk saham tersebut. Soal saham itu haram atau halal.. belakang kira, yang penting boleh dapat untung.

Sekiranya TS Muhyidin tidak celupar mulut.. Mesyuarat Agung Umno mungkin berjalan seperti biasa Disember ini. Kerana mulut, badan binasa.. tindakan TSM mengundang rasa marah AAB. Jika beliau berani mengkritik seorang PM, mana mungkin si dia ini boleh berkompromi dengan keturunannya nanti.. lebih-lebih lagi apabila AAB sudah bersara. Sanggupkah seorang ayah yang pengasih melihat keturunannya dipulau, diherdik dan diaibkan didepan mata?

Jadi.. orang ini harus disingkirkan, maka perlu kepada strategi baru, perlukan masa yang baru .. Taktik untuk melemahkan Najib telah bertukar, sekarang taktik melemahkan pengaruh Muhyidin. Apabila Muhyidin lemah.. pengaruh DS Najib akan lemah dan ditukar dengan ahli kem yang baru (pro AAB-KJ). Apabila pengaruh DS Najib lemah.. suara TDM, Mukhriz dan Ku Li hanya suara tin-tin kosong. DS Najib adalah biduk percaturan Abdullah vs Mahathir.

Tetapi, harus diingat.. DS Najib seorang yang amat berhati-hati.. sehingga dilihat sebagai ahli politik yang penakut dan kecut perut. Jawatan PM sudah berada dalam mulut, cuma perlu ditelan sahaja.. kalau ada orang yang menepuk belakangnya, maka muntahlah kembali jawatan itu. Lebih-lebih lagi si penepuk itu banyak kudratnya lagi gagah.. siapa yang banyak kudrat sekarang? Pak Lah atau Mahathir?

Sekiranya AAB mahu DS Najib menyingkirkan TS Muhyidin.. maka TSM akan menilai respons terbaru DS Najib kepadanya. Terpulanglah kepada kemahiran lakonan DS Najib didepan AAB.. berjaya atau tidak. Sekiranya gagal, TSM hanya ada 2 pilihan.. bertanding jawatan Presiden atau menolong Tg Razaleigh bertanding jawatan Presiden. Sekiranya DS Najib akur kepada kekuasaan AAB-KJ, maka lawannya nanti tentera-tentera TDM yang berpanglimakan Tg Razaleigh, TS Muhyidin dan Mukhriz.

Kesimpulannya.. jawapan teka-teki AAB terletak kepada analisa anak-menantunya dan jaminan DS Najib untuk menjamin keselamatan keturunannya. Manakala lanskap politik Umno bergantung kepada keputusan akhir DS Najib.. peralihan kuasa AAB kepada DSN membayangkan penyerahan kerja-kerja yang belum dapat AAB selesaikan. Sekiranya DS Najib berjaya dalam lakonannya didepan AAB, dia selamat dan dialu-alukan oleh TDM & The Gang.

Pak Lah telah berjanji kepada TDM sebelum menerima jawatan PM, tetapi beliau mungkir janji.. sekarang, DS Najib pula yang berjanji kepada beliau, ada kemungkinan beliau pula akan ditipu oleh DS Najib.. sebagaimana beliau menipu TDM dahulu.

Janji politik bukannya boleh dipegang mana.. janji politik semacam janji orang yang terdesak mahu berhutang, bila dapat.. belum tentu hutang itu terbayar.

Secara mudahnya.. harga minyak seliter pada bulan Jun ialah RM 1.97 dan dinaikkan sebanyak 70 sen, ketika itu harga se-tong ialah USD 104. Sekarang, harga minyak sudah menurun dari USD 140 kepada USD 106.. harga minyak seliter masih RM 2.45 ??

Saya tidak nampak kerajaan perlu menanggung subsidi yang besar, ..kerana sebelum ini pun kerajaan masih memberi subsidi. Yang saya nampak.. kerajaan mahu cari untung dan cuba menipu rakyat.

Penurunan ini patut diberikan ucapan tahniah dan terima kasih, tetapi penurunan sebanyak 10 sen boleh dipertikaikan. Mengikut penilaian saya.. harga minyak paling tidak boleh dikurangkan sebanyak 30 sen. Sekiranya dicampur dengan penurunan yang lepas sebanyak 15 sen, jumlah itu akan menjadi 45 sen.. iaitu lebih kurang 65% = RM 2.25 per liter.

Baki sebanyak 25 sen (70 sen-45 sen) itu lagi, adalah satu kadar margin keselamatan (safety margin) yang munasabah untuk menyerap sebarang kenaikkan harga minyak secara tiba-tiba.

Saya berpendapat.. kerajaan tidak ikhlas untuk menurunkan harga minyak. Penurunan ini sekadar gula-gula kepada rakyat untuk meraih populariti dan mahu menunjukkan kepada rakyat bahawa BN telah melakukan perubahan dasar-dasar ekonomi terutama sekali dengan pertukaran jawatan Menteri Kewangan baru-baru ini.

Bagaimana harga barangan hendak diturunkan jika dibuat secara berperingkat dalam kadar yang kecil? Apakah ada jaminan kerajaan tidak lagi menaikkan harga minyak? Sebagai peniaga.. tentulah mereka keberatan untuk menurunkan harga berdasarkan faktor-faktor ini.

Saya nampak kabinet Dr Mahathir lebih cerdik menangani isu minyak.. harga dinaikkan dalam kadar yang kecil walaupun kerap, bagaimana pun kenaikkan tersebut tidaklah mempengaruhi kadar inflasi dengan teruk sebagaimana sekarang.

Mengikut kenyataan media DSAI yang tersiar dalam Harakah Daily, RM 125 billion telah ditarik keluar oleh para pelabur yang semakin jelak dengan sebuah kerajaan yang gagal untuk melaksanakan hatta satu perubahan demi menjamin kebebasan sistem kehakiman dan meneruskan penggunaan undang-undang kuku besi seperti ISA untuk menahan rakyatnya tanpa menuruti proses perundangan.

Persoalannya.. adakah benar ianya 100% salah kerajaan semata-mata?

Saya bersetuju kerajaan dibawah pentadbiran DSAAB sememangnya lemah dalam menguruskan hal ekonomi, tetapi hakikat sebenarnya.. ekonomi dunia juga mengalami kemelesetan ekoran masalah ekonomi yang melanda Amerika Syarikat.

Saya bersetuju dengan Rocky’s Bru.. kehilangan pelaburan asing sebanyak RM 125 billion juga sedikit sebanyak berpunca dari tindak-tanduk DSAI itu sendiri. Pakatan Rakyat juga menyumbang kearah permasalahan ekonomi negara dengan strategi politik yang huru-hara.. penetapan tarikh 16 Sept dan cerita ‘katak melompat’.

Lebih buruk lagi.. kerajaan juga ‘tumpang sekaki’ dengan kekecohan politik anjuran DSAI, kerajaan hilang punca dengan strategi DSAI sehingga melakukan strategi defensif untuk menghadapi perang saraf DSAI. Seterusnya menimbulkan keadaan politik yang bercelaru.

Saya berpendapat.. sekiranya fokus Pakatan Rakyat lebih kepada PRU 13, keadaan politik negara tidaklah huru-hara sebegini.. rakyat memerlukan seseorang yang boleh melegakan bebanan ekonomi tidak kiralah siapa yang memerintah. Buat apa bertukar kerajaan kalau hidup masih ditakuk lama? Bertukar PM tidak menyelesaikan segala masalah.

Apakah logik pengurus dana bersedia melabur USD 1 trillion kepada Malaysia sekiranya PR memerintah.. padahal dana sebesar itu pun masih diperlukan oleh mereka untuk menyelamatkan ekonomi mereka sendiri. Itupun masih belum cukup untuk menyelamatkan syarikat-syarikat gergasi mereka..

Pemerintahan PR sendiri pun masih kelam-kabut dan tidak stabil terutamanya di Selangor, Perak dan Kedah.. apatah lagi mahu memerintah se-Malaysia secara tiba-tiba, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi dunia sekarang. Cakap memang senang tapi hendak membuktikan memang susah.. hal inilah yang diakui oleh MB Kedah apabila PAS dapat menguasai Kedah.

Kita tidak boleh menukar wajah Malaysia dalam sekelip mata.. perlukan masa juga. Mana masa hendak betulkan sistem kehakiman.. masa hendak betulkan sistem pentadbiran lagi.. masa hendak korek skandal lagi.. masa nak bahagi-bahagi jawatan lagi.. masa nak urus ekonomi..

Saya percaya.. BN bukannya selalu betul dan BN juga tidak ada hak mutlak untuk memerintah Malaysia selama-lamanya.

Lagi elok sekiranya PR membuktikan terlebih dahulu keberkesanan dan kebijaksanaan pemerintahan mereka di 5 buah negeri di bawah jajahan takluk mereka. Buktikan kepada rakyat bahawa mereka boleh mentadbir LEBIH BAIK dari BN.. rakyat Malaysia sekarang bukannya bodoh untuk tidak dapat melihat apa yang baik dan buruk. Sekiranya prestasi PR bagus, rakyat tidak ragu-ragu memilih mereka dalam PRU 13 dan menolak BN secara total.

Keburukkan moral pemimpin adalah masalah peribadi, kekalutan ekonomi melibatkan kepentingan umum.. dalam Islam, kepentingan umum harus diutamakan terlebih dahulu berbanding masalah peribadi.

Rakyat tidak perlu kepada retorik.. rakyat mahu kasih dan keprihatinan kerajaan.. Itu sahaja. Sekiranya PR memerintah dan rakyat masih mengalami permasalahan ekonomi yang sama.. PR juga akan disalahkan rakyat. Tidak kira siapa yang memerintah, BN atau PR, kalau gagal.. rakyat akan kutuk juga.