Baru-baru ini Khairy ada berdebat dengan Husam Musa di Balai Islam, Kota Bharu. Walaupun tempat itu cuma 10 kilometer dari rumah saya, tetapi sesi debat tersebut tidak menarik minat saya langsung untuk turut serta. Samada si KJ atau si Husam Musa.. dua-duanya saya tidak hiraukan sangat.  Samada mereka itu UMNO atau Pas, bukannya menjadi faktor utama utk saya turut serta. Kalau pesta buku atau ‘PC fair’, ada juga rasa minat nak jengok-jengok..

Antara yang menjadi isu setelah tamatnya sesi debat tersebut ialah isu hudud. Si Husam Musa kata Pas tetap akan teruskan.. si KJ pula cabar-mencabar tetapi terjerat dengan soalannya sendiri. Khairy mahu Hudud dilaksanakan? Kah..kah..kah..

Tapi, apa yang pasti.. isu hudud sengaja ditimbulkan agar terdapat satu modal yang boleh diguna-pakai untuk sesi pilihanraya. Satu isu mesti dicari untuk diwar-warkan, di putar-belitkan atau dihangatkan sebagai bekal perang psikologi pilihanraya.

Read the rest of this entry »

Advertisements

Semalam, apabila Dr Mahathir bercakap mengenai Bangsa Malaysia dan PM boleh jadi dari kaum bukan Melayu.. seperti biasa, beliau akan dikutuk dan dicaci. Secara peribadi, saya tidaklah taksub kepada beliau dan tidak juga membenci beliau. Tetapi, sehingga setakat ini (Tahun 2008), saya berpendapat beliau masih PM Malaysia yang paling berjaya dan paling cerdik dalam karier politik.

Seingat saya, ketika beliau masih berkuasa, arwah ayah saya amat membenci beliau.. pantang saja beliau muncul di kaca TV, pasti kami anak-beranak ‘melepas’ nak tengok TV kerana ianya telah ditutup atau dialih siarannya. Di kedai-kedai kopi, apabila orang-orang tua melihat saja gambar Dr Mahathir, terus saja mereka meludah ke tanah.. begitulah bencinya mereka kepada beliau.

Read the rest of this entry »

“Siapakah Tun yang dah keluar parti Umno itu nak cuba membuat arahan kepada orang Umno apa yang patut dilakukan? Dia berlagak seolah-olah menjadi pengarah kepada pilihan parti, menentukan orang itu memegang jawatan itu… orang ini pula memegang jawatan ini, siapa yang perlu ada dalam parti, siapa yang perlu dikeluarkan. Apa hak dia buat begitu?,” artikel selanjutnya dalam mStar Online disini.

————————————————————

Kenyataan paling keras setakat ini kepada Dr Mahathir dari Pak Lah.. dan kita juga harus menilai kembali asakan demi asakan dari Dr Mahathir bermotifkan apa? Padahal seluruh Malaysia dah tahu Najib MUNGKIN jadi PM pada Mac 2009 ini..

Secara peribadi.. saya berpendapat Pak Lah mungkin ‘terasa hati’ dengan kenyataan terbaru TDM baru-baru ini. Mungkin beliau sudah sedar akan kesilapannya yang lalu dan bersetuju untuk berundur dengan ‘syarat-syarat tertentu’. Sebelum ini, saya sudah mengatakan Pak Lah tidak akan berundur begitu sahaja.. sekurang-kuranya berundur dengan cara yang terhormat bukannya berundur kerana tekanan dalam parti BN (baca: dimalukan oleh parti sendiri).

Sekiranya Pak Lah ada berniat jujur demi perpaduan ahli-ahli parti , sememangnya beliau patut ‘bengang’ dengan TDM.. kenyataan TDM mahu orang-orang Pak Lah mesti disingkirkan juga, seolah-olah menggambarkan dirinya seorang yang amat hina sehinggakan seluruh keturunannya juga harus dihapuskan.

Pengajaran utama dari polemik ini ialah KERANA JANJI.. Pak Lah sudah banyak mungkir janji. Orang yang tidak menepati janji memang sukar untuk mendapat kepercayaan orang lain lagi. Seorang yang tenang tapi licik.. Pak Lah satu hal, Khairy pun satu hal juga yang harus dipertimbangkan. Khairy ada wawasan, kecerdikkan dan semangat bersesuaian dengan dirinya yang masih muda.. seeloknya beliau dapat bersabar sedikit masa lagi.

Ada asasnya juga TDM meragui keikhlasan Pak Lah mahu berundur.. bahkan Najib juga begitu. Selagi jawatan PM tidak bertukar tangan, selagi itulah pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Lebih-lebih lagi menantunya, Khairy, beradu nasib jawatan Ketua Pemuda.

Tempoh menunggu 6 bulan masih jauh dan lama untuk ditunggu oleh orang politik, sekiranya Khairy cukup kuota untuk bertanding.. tempoh masa yang panjang mungkin boleh menyejukkan kembali ‘kehangatan’ reformasi yang berlaku dalam parti UMNO sekarang. Mungkin kehangatan tersebut boleh disejukkan dengan lobi dan hujan wang dari pihak-pihak yang tertentu. Sejarah membuktikan, menang undi pencalonan tidak semestinya menang jawatan.

Saya berpendapat.. faktor inilah yang menjadi kebimbangan TDM.

-ps- Tengok orang lama-lama bergaduh, kita sendiri yang naik resah.. Maklum sajalah, makin lama umur, emosi kita semakin emosional. Orang tua-tua pernah berkata : Hidup ini satu putaran, orang yang berusia lewat akan jadi mudah sensitif dan beremosi seperti zaman kanak-kanaknya.

Apabila saya mendengar DS Anwar mengumumkan satu skandal baru (kononnya) mengenai pembelian helikopter Eurocopter dalam persidangan dewan 13/10/2008, saya tersenyum sendirian.. ada-ada saja taktik dan idea DS Anwar untuk ‘mengenakan’ musuh lamanya itu. Bukan hanya sekarang mereka ada ‘perang dingin’, malahan sejak Anwar bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO lagi.

Saya tidak mahu menyokong Najib di atas persoalan terbaru pembelian 12 unit helikopter Eurocopter Cougar EC-725, malahan saya juga berasa sangsi sekiranya berlaku ketirisan/ perjanjian sebalik tabir mengenai urusniaga tersebut sebelum ini.

Tetapi, kita tidak boleh cepat menuding jari kepada DS Najib bersalah semata-mata kerana bersetuju meluluskan pembelian EC-725 tanpa membuat beberapa analisa teknikal terlebih dahulu :

1.  Ada beberapa pertimbangan yang perlu diambil kira, (i) spesifikasi teknikal yang memenuhi keperluan operasi TUDM, (ii) jaminan teknikal dan penyelenggaraan, (iii) reputasi dan jaminan pengilang, (iv) kegunaan meluas di pasaran global (faktor kesediaan alat-ganti), (v) harga, (vi) keselesaan dan keserasian dasar negara dengan negara pengeluar/syarikat, (vii) sokongan kepada pemindahan teknologi dan lain-lain lagi yang munasabah.Faktor-faktor tersebut adakalanya saling berkait antara satu sama lain.

2.  Harga yang murah bukanlah faktor penentu keputusan akhir sesuatu pembelian, sebagai contoh : jika hanya faktor harga diambil-kira, masakan ada rakyat Malaysia yang mahu membeli Mercedes S280, BMW 5 Series, Volvo S60.. walaupun ada pilihan lain yang jauh lebih murah? Malahan, faktor teknikal dan reputasi Mercedes, BMW dan Volvo pun masih menjadi pertimbangan sebelum keputusan dibuat.. memilih yang terbaik dari yang terbaik.

3.  Tahukah kita bahawa teknologi kejuruteraan mekanikal German/Perancis adalah yang terbaik di dunia? Amerika dan Rusia lebih terkenal dengan teknologi sensor, pengkomputeran dan konsep. Itali dan UK, walaupun hebat dengan teknologi reka-bentuk dan setanding, kos alat ganti mereka lebih mahal berbanding negara-negara lain. Teknologi kejuruteraan mekanikal yang bagus dapat menjamin jangka-hayat yang lebih panjang kepada mesin/jentera tersebut.

4.  Arwah bapa saya seorang ketua jurutera mekanikal untuk agensi kerajaan dan telah merantau hampir keseluruh dunia untuk mencari jentera pertanian yang terbaik untuk kegunaan badan-badan kerajaan. Ilmu dan pengalaman beliau sedikit-sebanyak membantu saya memahami dunia kejuruteraan (sayangnya, beliau telah tiada untuk saya merujuk hal ini).

5.  Walaupun model Kazan MI-172 buatan Rusia dan model Sikorsky S-92 buatan AS ditawarkan pada RM 898 juta (yang termurah) dan RM 1.452 bilion masing-masing, dan digunakan secara meluas dalam medan peperangan.. sedarkah kita, dari segi jangka-masa panjang kos penyelenggaraan amat membebankan kerana kita terpaksa merujuk kepada pengkalan penyelenggaraan mereka yang berada di luar Malaysia?

6.  Sedarkah kita bahawa Eurocopter adalah pengeluar helikopter terbesar di dunia ,syarikat aeroangkasa yang kedua terbesar didunia dan digunakan di 60 buah negara seluruh dunia? Sedarkah kita Eurocopter telah berada di Malaysia sejak tahun 2002 lagi, dan telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat tempatan Composite Technology Research Malaysia (CTRM) dalam industri pembuatan helikopter? Tahukah kita helikopter Super Puma yang menjadi kebanggaan Tentera Nasional Indonesia (TNI) juga mengunakan teknologi Eurocopter?

7.  Eurocopter juga telah berjanji untuk menambahkan pelaburan sebanyak RM 250 juta (jika terpilih) untuk menaik-taraf pusat penyelenggaraan CTRM-Eurocopter di Subang dalam bidang latihan dan membina pusat simulasi pemanduan helikopter yang pertama di Asia. Bukankah kerjasama ini menguntungkan kerajaan dalam pemindahan teknologi dan pusat latihan serantau? Bukankah ini salah satu hasil pendapatan negara dan syarikat tempatan? Adakah pembida-pembida tender yang lain bersedia memberi tawaran yang sebegini menarik?

8.  Perlukah diadakan ujian penerbangan kepada semua model helikopter sekiranya diatas kertas sahaja sudah diketahui tidak menepati keperluan spesifikasi teknikal TUDM? Harus diingat, objektif utama TUDM ialah helikopter untuk tujuan Search And Rescue (SAR) bukannya helikopter penggempur. Secara peribadi, model Cougar EC725 dan Agusta EH 101-Merlin lebih menepati spesifikasi tersebut.. sekiranya kos alat ganti diambil-kira, model Agusta lebih membebankan untuk kos penyelenggaraan. Untuk tujuan helikopter penggempur, tiada satu pun model diatas yang sesuai, Singapura lebih kedepan dengan helikopter Apache mereka.

9.  Betulkah tiada motif tersembunyi dari Pengerusi Mentari Services, Kapten (B) Zahar, kerana kegagalan membida tender pembelian helikopter? Ini nada orang yang kecewa kerana tidak terpilih dan menuduh secara melulu kerajaan bersikap pilih-kasih.. kalau terpilih, tentulah beliau senyap sahaja dan memuji-muji kerajaan kerana memilih bidaan syarikatnya. Adakah tawaran dari syarikat beliau yang terbaik, memandangkan pengkalan penyelenggaraan helikopter pun di Kanada dan tiada kerjasama strategik dengan syarikat tempatan? Saya rasa tidak.. soal tidak puas hati ini memang wujud dimana-mana dalam tender secara global.

10.  Soal ‘somebody’ menerima komisen adalah perkara biasa dalam dunia bisnes, pak lebai di kampung pun pandai ‘makan komisen’ dalam urusniaga jual-beli lembu untuk korban aqiqah.. selain DS Najib dan YB-YB Umno yang lain-lain, anda juga boleh bertanya maksud sebenar ‘komisen’ kepada Azmin Ali, Husam Musa, Hatta Ramli, Hassan Ali, Khalid Ibrahim malahan kepada Anwar Ibrahim juga !! Kenapa Anwar hanya diam dan tunduk membisu sahaja apabila disoal balik oleh YB Umno dalam sidang Dewan Rakyat 14/10/2008 tentang komisen, kronisme dan rasuah?

Semalam pada 13 Oktober 2008, ada hal yang membuatkan saya berasa musykil, kemana hilangnya wakil-wakil BN yang mahu berbahas tentang belanjawan 2009? Yang ada cuma YB Batu Pahat, Datuk Fuad, yang mempertahankan kewajaran bajet asal yang menerima sindiran dan cemuhan DS Anwar serta Lim Kit Siang.

Secara keseluruhannya, DS Anwar berjaya menimbulkan persoalan kewajaran bajet tersebut untuk dibahaskan, dengan mengambil-kira keadaan nilai semasa matawang negara dan harga minyak.

Secara mudahnya, bagaimana kerajaan mahu menampung perbelanjaan semasa kerana jumlah pendapatan negara sudah berkurang berdasarkan harga minyak sekarang berlegar sekitar USD 80/tong dan minyak sawit sekitar RM 1,800/tan metrik. Ketika Bajet 2009 dibentangkan, harga minyak dan minyak sawit sekitar USD 120/tong dan RM 2,000/tan metrik masing-masing. Anggaran pendapatan tersebut mestilah kurang tepat, samada ianya perlu dinilai semula atau jumlah perbelanjaan harus disemak semula berdasarkan unjuran tersebut.

Ketika Bajet 2009 dibentangkan, defisit dianggarkan pada 3.8%.. dengan penurunan pendapatan kerajaan, sudah tentu anggaran defisit tersebut akan lebih tinggi dan kurang tepat.

Selain itu, DS Anwar juga menuntut beberapa penjelasan berhubung beberapa projek mega dan pembelian helikopter Eurocopter untuk menggantikan helikopter Nuri.

Keseluruhannya, sidang Parlimen dikuasai oleh wakil pembangkang dan berjaya dimanupulasi dengan baik oleh DS Anwar. Wakil-wakil BN kelihatan diam membisu dan kelihatan takut-takut untuk berhujah dan berbahas.

Walaupun hujah-hujah dari DS Anwar ada benarnya tetapi ianya masih boleh dipertikaikan. Saya tidak berminat untuk menghuraikan persoalan itu, kerana saya berasa lebih musykil dengan ketiadaan DS Najib selaku Menteri Kewangan dan lain-lain menteri kabinet untuk bersikap ‘gentleman’ dalam persidangan tersebut.

Saya tidak tahu adakah ini salah satu strategi wakil BN dan menteri-menteri kabinet untuk memulaukan perbahasan, ..atau mereka mahu melihat rentak-tari Anwar terlebih dahulu sebelum bersedia, ..atau takut hilang idea dan bimbang sekiranya diserang dengan hujah-hujah Anwar.

Secara peribadi.. hari pertama perbahasan Bajet 2009 amat mengecewakan kerana menteri-menteri kabinet yang berkaitan tidak turut serta untuk berbahas mengenai hal itu. Bagaimanapun, kita boleh melihat perkembangan terbaru perbahasan bajet pada 14/10/08 kerana ianya telah ditangguhkan untuk mendengar penghujahan dari wakil Kementerian Kewangan.

MELBOURNE 12 Okt. — Datuk Seri Najib Tun Razak perlu memastikan dirinya tidak dikelilingi oleh kroni dan anggota keluarga apabila beliau menjadi perdana menteri, kata Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini.

“Beliau juga patut mendapatkan nasihat daripada beberapa bekas anggota Parlimen dan pakar mengenai urusan mentadbir negara,” kata bekas perdana menteri itu kepada Bernama selepas berucap pada seminar belia Malaysia di University of Melbourne. Tetapi Najib tidak patut cuba melakukan semuanya sendirian. Beliau perlu mendapatkan nasihat yang betul daripada mereka yang benar-benar layak. Beliau tidak sepatutnya dikelilingi oleh kroni dan anggota keluarga kerana ini tidak baik untuk negara,’’ kata Dr. Mahathir.

– BERNAMA

————————————————————————————–

Nasihat yang datang dari Tun Dr Mahathir (TDM) sepatutnya diterima dengan baik oleh DS Najib Tun Razak. Bagaimanapun, nasihat tersebut dipandang serong oleh parti pembangkang dan musuh-musuh politik beliau. Sebagai pembangkang, saya tidak hairan sekiranya pembangkang tidak mahu DS Najib berubah menjadi orang yang baik kerana ianya tidak akan membawa apa-apa keuntungan politik kepada mereka.

Kita tidak akan dapat menerima seseorang itu sekiranya kita tidak cuba berfikir secara positif kepada beliau. Orang yang sentiasa berfikir secara negatif sebenarnya akan merosakkan diri sendiri.. Saya mengakui, DS Najib terbelenggu dengan pelbagai skandal dan masalah peribadi, tetapi saya percaya beliau mempunyai pengalaman pentadbiran dan kebijaksanaan akal.

Walaupun Anwar, Lim Kit Siang dan PAS juga mempunyai sikap-sikap negatif.. tidak bermaksud saya harus memandang serong kepada mereka kerana mereka juga mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri. Tetapi, menyalahkan kerajaan 100% keatas setiap masalah seolah-olah menafikan kenyataan bahawa permasalahan rakyat sedikit-sebanyak berpunca dari mereka juga.

Berdasarkan pertimbangan inilah, saya berpendapat negara kita memerlukan sistem dua parti yang efektif dimana pemerintah dan pembangkang menjalankan tugas masing-masing dengan bekesan. Sebelum ini, keadaan parti agak berat sebelah dan membuatkan kerajaan pemerintah menjadi ego dan tidak mahu mendengar masalah orang lain melainkan diri mereka sahaja. Tapi harus diingat, ianya bukan berpunca dari manipulasi kerajaan semata-mata.. ianya kerana tiada parti alternatif yang benar-benar stabil untuk memberi saingan kepada BN.

Pembangkang juga ego, tidak mahu mengakui kelemahan mereka sendiri.. kerana itulah mereka selesa memburuk-burukkan kerajaan sedia ada dan mempermainkan sentimen rakyat dalam isu-isu semasa, untuk memperolehi sesuap-dua keuntungan politik. Terima kasih kepada Anwar Ibrahim yang dapat mengajar dan ‘brain-wash’ Lim Kit Siang, Hj Hadi dan Nik Aziz agar berpijak dibumi nyata.

————————————————————————————-

Berbalik kepada DS Najib, semua orang mengetahui beliau dikaitkan dengan skandal SAS (Sukhoi-Altantuya-Scorpene).. tetapi mengatakan beliau telah bersalah adalah tidak adil sama sekali. Kita banyak terpengaruh dengan momokan dan hasutan Raja Petra dan DS Anwar. Bukankah Khairy Jamaluddin dibenci ramai kerana Hikayat Khairy Jamaludin? Bukankah Najib dibenci kerana Altantuya’s Saga?

Bolehkah kita mempercayai 100% RPK dan DS Anwar? Tetapi, kita juga tidak boleh mempercayai DS Najib dan UMNO 100% juga. Kita memerlukan pertimbangan akal yang seadilnya mengikut tahap pemikiran diri kita sendiri, bukannya kerana terikut-ikut dengan orang lain tanpa mengetahui hujung-pangkal sesuatu peristiwa. Mempercayai bulat-bulat kata Hishamudin Hussein adalah tidak baik kerana beliau proksi Najib, begitu juga dengan kata-kata Azmin Ali kerana beliau proksi Anwar.

DS Najib memerlukan penasihat untuk memerintah negara. Salah satu kegagalan Pak Lah ialah kerana melantik senarai penasihat yang tidak betul dan hanya suka mengampu, yang telah membawa dirinya untuk dibenci ramai dan dilabel dengan imej negatif. Sekiranya DS Najib bijak, beliau sudah tentu mengambil kira faktor ini untuk dibuat pengajaran.. tersilap kali pertama bolehlah dikatakan sebagai pengajaran, mengulangi kesilapan pertama untuk kedua kalinya, bolehlah dikatakan bodoh kerana tidak mempelajari kesilapan itu.

Ramai orang bimbang kerana DS Najib dikatakan mengikut telunjuk isterinya, Datin Rosmah. Hal ini bukannya menjadi rahsia lagi kerana isterinya itu dilihat lebih berkuasa dalam sesetengah perkara dan menjadi kehairanan sesetengah ahli politik dan pegawai-pegawai kerajaan.

Benar.. sekiranya DS Najib dibiarkan keseorangan, beliau mungkin akan dipengaruhi isteri dan kroni-kroninya. Kerana itulah beliau memerlukan seorang penasihat yang lebih bijak dan berpengalaman dari beliau sendiri, melantik TDM sebagai penasihat parti adalah tepat. Secara tidak langsung.. TDM akan berfungsi sebagai ‘check and balance’ kepada BN dan DS Najib. Adakah anda fikir DS Najib mahu mendengar nasihat sepupunya Hishamudin? ..atau nasihat dari musuh politiknya sejak dulu lagi, Anwar Ibrahim? ..atau nasihat Nik Aziz, Hj Hadi atau Lim Kit Siang? Saya rasa tidak..

Ada orang mengatakan.. ajaran Mahathirisme akan berulang, Najib akan menjadi boneka Mahathir. Secara peribadi, saya tidak nampak hal sedemikian akan terjadi. DS Najib ada stail beliau yang tersendiri, mungkin dilihat sama dengan Dr Mahathir tetapi sebenarnya berbeza. Yang paling nyata, beliau dilihat agak pemurah dan mudah terpengaruh (tetapi tidak bodoh) berbanding Dr Mahathir yang tegas dan ‘hati kering’.

Apa yang saya nampak, kroni-kroninya akan dapat ‘durian runtuh’ melalui projek-projek kebajikan  dan pembangunan kepada rakyat berdasarkan formula ‘menang-menang’.. persoalannya, adakah durian runtuh tersebut keterlaluan sehingga nasib rakyat terabai kelak?

Sebagai rakyat biasa.. kita kena menerima kenyataan bahawa segala peluang peniagaan dan maklumat akan sampai terlebih dahulu kepada tampuk kepemimpinan negara. Sesiapa yang rapat dengan mereka juga akan beroleh faedah maklumat tersebut secara tidak langsung, akhirnya rakyat bawahan akan beroleh sisa-sisa dan picisan maklumat tersebut.

Hal yang sama akan terpakai sekiranya Pakatan Rakyat memerintah… Jangan terkejut sekiranya kita mendengar berita kroni Husam Musa beroleh tender membuat lebuh-raya, berita kroni Azmin Ali dapat AP mengimport kereta dan sebagainya. Kroni ini ada dimana-mana.. sebesar mana skala kroni tersebut bergantung kepada tempat mereka berada sekarang, samada dalam parti pemerintah atau parti pembangkang.

Artis Bollywood Shah Rukh Khan, akan dianugerahkan darjah kebesaran negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob ke-70 hari ini.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka, Saadon Basirun berkata Shah Rukh Khan akan dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM). Istiadat penganugerahan berkenaan yang turut melibatkan 758 penerima darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka akan berlangsung di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini dan Ahad.

“Shah Rukh Khan juga memberi sumbangan terhadap industri pelancongan negara ini apabila beliau datang ke Malaysia bagi menghasilkan filem lakonannya,” kata Saadon Basirun.

————————————————————————————-

Melaka sudah kepupusan rakyat kah? … kena ambil warganegara India untuk mendapat anugerah gelaran Datuk?

Secara peribadi.. saya tiada masalah sekiranya seseorang itu layak kerana berjasa kepada negerinya, samada beliau beragama Hindu atau berketurunan India. Masalahnya, SRK ini lahir di Melaka kah? … atau apakah beliau ini rakyat Malaysia? … atau beliau telah mempromosikan Malaysia di mata dunia? … atau beliau telah banyak membuat kebajikan kepada rakyat Melaka?

Nampaknya, DS Ali Rustam ketandusan idea dan strategi mahu membodek DS Najib, ini ‘signal’ awal bodek beliau.. mentang-mentanglah ‘1st Lady-in-waiting’ dan kalangan bangsawan meminati SRK dan cerita-cerita Hindustan. Selepas ini, kerajaan negeri Melaka bolehlah menimbangkan untuk memberi gelaran Datuk kepada Aishwarya Rai dan Hitrik Roshan pula.. mereka ini pun pernah berlakon di Malaysia juga.