Pemegang kunci kepada jawapan teka-teki Abdullah

October 5, 2008

Sekarang ini ahli-ahli Umno menunggu jawapan kepada teka-teki DS Abdullah.. adakah beliau mahu berundur ataupun masih ingin kekal berkuasa. Merujuk kepada beliau baru-baru ini, pengumuman akan dibuat sebelum persidangan Bahagian pada 9 Oktober ini. Lagi 4 hari lebih kurang..

Sementara menunggu jawapan teka-teki, kita dihidangkan dengan acara-acara selingan yang dilakonkan oleh pelakon-pelakon sampingan yang dibintangi oleh DS Najib, TS Muhyidin, Datuk Zahid Hamidi, TS Muhd Taib dan Datuk Ali Rustam. Walaupun ianya acara sampingan.. acara-acara tersebut boleh memberi ramalan awal kepada keputusan akhir teka-teki. Maka, ramailah yang sibuk berSMS memberi undi dan membuat andaian serta hipotesis.. termasuklah diri saya juga.

Sedar tidak sedar.. akan ada juri-juri yang akan menilai persembahan pelakon-pelakon tadi, tentulah ‘mereka’ yang rapat lagi akrab dengan pemberi jawapan teka-teki. Mereka inilah yang akan menganalisa, membuat kesimpulan dan melontarkan hujah-hujah kepada jawapan akhir teka-teki tersebut. Kunci jawapan pemberi teka-teki terletak kepada mereka, samada mahu berundur atau terus kekal.

Siapakah mereka-mereka ini? .. Seorang ahli perniagaan dari Scomi, seorang broker dan ahli politik muda dan isterinya.

Kasih seorang ayah..

Anak adalah syurga kehidupan.. anak berjaya dan bahagia, ayah senang hati.. anak payah nak cari makan dan murung, ayah susah hati. Kasih kepada anak tidak sama kasih kepada isteri, anak adalah darah-daging tuan empunya diri.. perangai anak-anak adalah cermin kepada perangai diri sendiri. Isteri bukan darah-daging.. isteri adalah orang lain. Kalau tidak.. kenapa anak-anak yang menjadi rebutan ayah dan ibu yang tidak sehaluan?

Ayah sanggup bankrap demi anak.. ayah sanggup menebalkan muka berjumpa orang lain agar anak diberi peluang.. ayah sanggup menerima aib asalkan anaknya tidak diapa-apakan.. ayah rela mati celik dari melihat anak terkapai-kapai hilang tempat bergantung.

Kerana kasih ayah kepada anaknya.. ayah rela menipu orang lain, agar anaknya dapat makan dan hidup. Kerana kasih ayah kepada anaknya.. ayah rela menyerahkan harta agar menantunya berjaya dalam hidup, sekurang-kurangnya anaknya juga yang tumpang bahagia. Kepada sesetengah orang.. kunci kebahagiaan hidup bergantung kepada banyak mana harta yang mereka ada. Malahan pak-pak lebai juga tidak terkecuali..

Ayah kepada keluarga kecil tidak mengapa.. tetapi ayah yang menjadi pemimpin masyarakat bukannya ayah yang biasa, anak-anaknya bukan seorang dua.. malahan berjuta-juta. Kalau ayah hanya menumpukan kasih kepada seorang dua, tentulah anak-anak lain akan terasa hati.. lebih-lebih lagi anak tiri dan dan anak angkat.

Kerana itulah, sekiranya ayah tidak adil memberi kasih.. keluarga porak-peranda, lebih-lebih lagi jika ayah orang yang berharta banyak. Masing-masing berlumba-lumba mahu meraih perhatian ayah, masing-masing mahu dilihat anak yang berbakti dan berjasa. Hanya anak yang ikhlas dan soleh yang tidak terkejarkan harta dan nama, dengan keadaan zaman sekarang yang sentiasa bercampur-gaul dengan wang.. agak sukar mencari anak yang tidak gila harta.

Itu belum dikira bapa-bapa saudara yang ingin berkongsi harta.. ada bapa saudara yang berketayap hijau, ada bapa saudara yang bermata satu dan ada juga bapa saudara yang boleh bertukar kulit. Hendak pengaruh anak yang seorang dua tidak boleh, maka dijoloknya anak tiri dan anak angkat yang ramai bilangannya itu, dengan harapan anak-anak yang berjuta itu boleh memberi sesuatu faedah kepada mereka. Ini perangai bapa saudara..mereka juga ayah, bila dapat harta tentulah mahu menjaga kebajikan anak kandung mereka juga.

Zaman sekarang sudah terbalik.. anak yang memberi nasihat dan tips, si ayah hanya termanggu dan terangguk-angguk. Rasa curiga kepada anak tidak setebal rasa curiga kepada isteri. Zaman sekarang.. anak sudah pandai berlakon depan ibu-bapa, tiada beza antara anak petani atau anak pembesar.. kalau dah jadi anak, sifatnya tetap sebagai anak. Kalau ayah kurang ilmu dan taksub kasih-sayang.. alamat kena tipulah jawabnya.

Kemaruk pertandingan..

Berbalik dalam parti Umno.. agak menarik untuk diperhatikan perkembangan terbaru pertandingan jawatan Timbalan Presiden. Ada empat orang calon setakat ini.. Datuk Zahid, Datuk Ali Rustam, TS Muhd Taib sudah mengesahkan mereka mahu bertanding kecuali TS Muhyidin yang mahu bermain teka-teki juga.

Ada cakap-cakap DS Abdullah mahu berundur dan jawatan PM akan diberi kepada Najib. Tetapi, adakah pengundurannya secara percuma? Sudah tentu tidak.. ayah akan berundur apabila nasib anak-anaknya mendapat pembelaan sewajarnya terlebih dahulu.

DS Abdullah sedar gelombang perubahan yang cuba dibawa oleh Najib-Muhyidin, lebih-lebih dengan kuasa mantera dan jampi serapah Tun Dr Mahathir. Apa sangatlah kudrat setompok air berbanding selautan air.. mahu selamat, kena ikut aliran airlah. Bagi yang berakal dan ada kreativiti.. dipastikan aliran air yang deras dan merbahaya itu dialirkan melalui saluran yang sepatutnya, akhirnya air tadi akan bermanfaat juga untuk masa depan.

Begitulah yang cuba diterjemahkan dengan pencalonan Datuk Zahid, TS Muhd Taib dan Datuk Ali Rustam.. mereka-mereka ini telah diberi ‘nyawa’ baru dalam karier politik masing-masing. Mereka telah dipinggirkan dalam kabinet TDM atas sebab-sebab yang tertentu, dengan lobi dan saranan Khairy.. mereka kembali menjadi ‘seseorang’ dalam kabinet DSA dengan ikrar taat setia atau mereka akan dimalukan kelak. Mahu tidak mahu mereka terpaksa menjadi hamba politik kepada Abdullah-Khairy.

Ini agak berbeza kepada TS Muhyidin, bayangan kepada kabinet TDM dan juga pusaka peninggalan TDM selain DS Najib. TS Muhyidin agak bebas dari sistem perhambaan politik AAB-KJ cuma kuasanya agak terbatas untuk bermaharajalela. Beliau dulunya pilihan hati AAB sebagai Timbalan PM tetapi kecewa lantaran syarat TDM yang mahukan DS Najib calon penggantinya.

Demi survival politik, mahu tidak mahu TS Muhyidin harus bekerjasama dengan DS Najib sambil memantau pasaran saham politik semasa. Mana-mana saham yang ada potensi untuk naik, maka banyaklah pelaburan akan dibuat untuk saham tersebut. Soal saham itu haram atau halal.. belakang kira, yang penting boleh dapat untung.

Sekiranya TS Muhyidin tidak celupar mulut.. Mesyuarat Agung Umno mungkin berjalan seperti biasa Disember ini. Kerana mulut, badan binasa.. tindakan TSM mengundang rasa marah AAB. Jika beliau berani mengkritik seorang PM, mana mungkin si dia ini boleh berkompromi dengan keturunannya nanti.. lebih-lebih lagi apabila AAB sudah bersara. Sanggupkah seorang ayah yang pengasih melihat keturunannya dipulau, diherdik dan diaibkan didepan mata?

Jadi.. orang ini harus disingkirkan, maka perlu kepada strategi baru, perlukan masa yang baru .. Taktik untuk melemahkan Najib telah bertukar, sekarang taktik melemahkan pengaruh Muhyidin. Apabila Muhyidin lemah.. pengaruh DS Najib akan lemah dan ditukar dengan ahli kem yang baru (pro AAB-KJ). Apabila pengaruh DS Najib lemah.. suara TDM, Mukhriz dan Ku Li hanya suara tin-tin kosong. DS Najib adalah biduk percaturan Abdullah vs Mahathir.

Tetapi, harus diingat.. DS Najib seorang yang amat berhati-hati.. sehingga dilihat sebagai ahli politik yang penakut dan kecut perut. Jawatan PM sudah berada dalam mulut, cuma perlu ditelan sahaja.. kalau ada orang yang menepuk belakangnya, maka muntahlah kembali jawatan itu. Lebih-lebih lagi si penepuk itu banyak kudratnya lagi gagah.. siapa yang banyak kudrat sekarang? Pak Lah atau Mahathir?

Sekiranya AAB mahu DS Najib menyingkirkan TS Muhyidin.. maka TSM akan menilai respons terbaru DS Najib kepadanya. Terpulanglah kepada kemahiran lakonan DS Najib didepan AAB.. berjaya atau tidak. Sekiranya gagal, TSM hanya ada 2 pilihan.. bertanding jawatan Presiden atau menolong Tg Razaleigh bertanding jawatan Presiden. Sekiranya DS Najib akur kepada kekuasaan AAB-KJ, maka lawannya nanti tentera-tentera TDM yang berpanglimakan Tg Razaleigh, TS Muhyidin dan Mukhriz.

Kesimpulannya.. jawapan teka-teki AAB terletak kepada analisa anak-menantunya dan jaminan DS Najib untuk menjamin keselamatan keturunannya. Manakala lanskap politik Umno bergantung kepada keputusan akhir DS Najib.. peralihan kuasa AAB kepada DSN membayangkan penyerahan kerja-kerja yang belum dapat AAB selesaikan. Sekiranya DS Najib berjaya dalam lakonannya didepan AAB, dia selamat dan dialu-alukan oleh TDM & The Gang.

Pak Lah telah berjanji kepada TDM sebelum menerima jawatan PM, tetapi beliau mungkir janji.. sekarang, DS Najib pula yang berjanji kepada beliau, ada kemungkinan beliau pula akan ditipu oleh DS Najib.. sebagaimana beliau menipu TDM dahulu.

Janji politik bukannya boleh dipegang mana.. janji politik semacam janji orang yang terdesak mahu berhutang, bila dapat.. belum tentu hutang itu terbayar.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: