Demonstrasi pelajar UiTM diberi kebenaran oleh siapa?

August 18, 2008

Yang tersurat ialah pelajar-pelajar UiTM membuat demonstrasi kepada MB Selangor.. Tetapi yang tersiratnya kenapa ianya dibenarkan pula? Adakah kerana bantahan ini dapat menyokong menaikkan imej kerajaan ataupun ianya sengaja diaturkan?

Ikuti kupasan artikel ini di Harakahdaily.net –disini– ataupun baca artikel itu terus..

Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | Aug 13, 08 | 1:59:25 pm

Amat jarang sekali kita mendengar mahasiwa Universiti Teknologi Mara (UiTM) keluar beramai-ramai untuk berdemonstrasi bagi menyatakan bantahan terhadap sesuatu pihak samada kerajaan mahupun pihak lain.

Namun peristiwa semalam (Selasa 12 Ogos) amat menarik untuk diperhalusi dimana lebih 5000 mahasiswa UiTM berdemonstrasi di hadapan Bangunan Setuausaha Kerajaan Selangor (SUK) bagi membantah cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membuka 10 peratus kuota kemasukan UiTM kepada bukan bumiputera.

Sebelum ini umum mendengar laporan bahawa pernah beberapa orang mahasiswa universiti berkenaan diambil tindakan berikutan menyertai himpunan aman anjuran persatuan-persatuan mahasiswa.

Sebagai contoh, seorang mahasiswa UiTM Shah Alam, Herman Sanuddin pernah ditahan polis dalam himpunan aman di hadapan Masjid Negara pada tahun 2000 bagi membantah penggunaan Akta Keselamatan Dalamdan Negeri (ISA).

Berikutan itu, Herman digantung pengajiannya hingga kini meskipun ketika digantung, pelajar terbabit belum pun dibuktikan bersalah di mahkamah atas dakwaan menyertai perhimpunan aman.

Ketika itu UiTM ditadbir oleh Naib Canselornya yang cukup popular, Ibrahim Abu Shah yang juga dikenali sebagai penyokong Umno.

Malang sekali, kali ini dengan bukti yang kukuh, dengan gambar yang cukup jelas, 5000 mahasiswa yang berhimpun di hadapan SUK semalam tidak pun diambil tindakan oleh universiti yang ditadbir Ibrahim Abu Shah.

Jauh sekali kata-kata amaran dikeluarkan UiTM kepada pelajarnya untuk menghalang dari menyertai himpunan aman tersebut.

Cukup terbuka dan cukup bebas nampaknya Ibrahim Abu Shah kali ini, membiarkan mahasiswa UiTM berdemonstrasi sedangkan sebelum ini beliau begitu anti kepada kelompok yang berdemonstrasi.

Apakah yang tersirat di sebalik keterbukaan Ibrahim Abu Shah kali ini atau sebenarnya ada pihak yang ‘menyalakan api’ supaya mahasiswa-mahasiswa ini berdemontrasi tanpa memikirkan siapa dibelakang tabir peristiwa bersejarah ini.

Umum mengetahui, sejarah-sejarah penglibatan mahasiswa dalam himpunan-himpunan aman banyak berkisarkan kepada gerakan yang dibawa daripada beberapa universiti terkemuka antaranya Universiti Malaya (UM); Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sekitar tahun 1998 hingga 2001, ramai pelajar dari UM, UKM dan UIAM ditahan kerana menyertai dan menganjurkan himpunan aman membantah dasar-dasar kerajaan ketika itu.

Namun, jarang sekali kita mendengar kelompok pelajar UiTM menyertai himpunan aman, dan jika ada sekalipun hanyalah menjadi peserta dan bukan penganjur.

Amat pelik sekali isu yang dibantah berdasarkan kepada cadangan yang dikemukankan oleh Khalid yang hanya semata-mata cadangan tanpa boleh mengganggu dasar sedia ada UiTM yang ditetapkan oleh kerajaan pusat.

Khalid sendiri tidak ada kuasa kerana beliau hanyalah Menteri Besar dan bukannya Menteri Pengajian Tinggi yang ada kuasa ke atas UiTM.

Atas dasar itulah, ramai tertanya mengapa kerajaan Selangor yang menjadi tumpuan mahasiswa UiTM berhimpun di hadapan SUK membantah cadangan Khalid sedangkan MB Selangor itu tiada kuasa dalam menentukan dasar universiti berkenaan.

Mulalah akhbar arus perdana melaporkan kenyataan-kenyataan yang mengecam Khalid kononnya MB Selangor itu tidak memperjuangkan hak orang Melayu dengan cadangan ini, sedangkan beberapa tahun lalu cadangan yang sama pernah dikemukankan oleh kerajaan Umno-BN sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Apakah Umno ketika itu ‘prihatin’ kepada orang Melayu/bumiputera dengan cadangan itu?

Mungkin ramai yang tidak menyokong cadangan Khalid, namun amat pelik sekali apabila isu ini sengaja diperbesarkan dalam media sedangkan cadangan Khalid tidak akan menjadi barah kepada kerajaan pusat untuk mengubah dasar UiTM.

Dalam hal ini boleh dianggap bahawa himpunan yang dibuat seperti ‘seorang doktor yang merawat pesakitnya yang demam, namun ubat yang diberikan ialah ubat kencing manis’.

Siapa di belakang pelajar ini mungkin persoalan ini boleh dilontarkan kepada Ibrahim Abu Shah sendiri yang hingga kini tidak membuat sebarang kenyataan berhubung tindakan pelajar berhimpun.

Mungkin himpunan sebegini nilainya diharuskan oleh Ibrahim atau Umno-BN merelakan himpunan sebegini kononnya demi kepentingan menjaga kepentingan Melayu.

Satu persoalan yang perlu dijawab mahasiswa yang terbabit dengan himpunan, sejak bilakah Umno-BN menjadi benteng kepada hak dan kepentingan Melayu hingga gula-gula sedemikian termakan oleh mereka?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: